Pages

Monday, January 31, 2005

TERIMA KASIH SEMUA


Pagi tadi, saya menerima sms daripada adik Nimoiz T.Y. Dia menyarankan saya agar menambah ruangan sembang (chatterbox). Kemudian bila saya ke kantong e-mel, kak Mawar pula bertanya, lebih kurang katanya- tak ada buku tamu ya? Saranan dan pertanyaan ini akan terjawab apabila blog ini benar-benar sempurna. Saya kira blog ini masih dalam pembikinan. Semasa bersembang dengan kak Nisah petang semalam secara online, saya katakan padanya- saya ini nak dikatakan buta IT tidak pula sampai ketahap itu, rabun IT pun tidak juga, tetapi masih banyak perlu saya pelajari. Semestinya sesuatu yang baru harus dipelajari kerana ilmu tidak datang dengan sendiri. Harus rajin menjelajahi terutama jika mahu bermain dengan bahasa HTML.

Walau apapun, terima kasih kepada mereka yang sudi berkunjung ke blog saya, catatan hidup rentak pena versi terkini. Saya mencari masa yang sesuai untuk menyempurnakan blog ini. Bak kata kak Nisah- teruskan membuat catatan di dalam blog, yang lain itu boleh ditambah kemudian. Sekarang agak ripuh dengan tugasan sebagai penuntut ilmu. Harus seimbang agar amanah, minat dan tanggungjawab berjalan seiring. Terima kasih kepada rakan-rakan penulis yang tidak jemu memberi dorongan. Juga acapkali memugar semangat. Manusia tidak wajar berkata- kejayaan yang dimiliki adalah atas usaha sendiri, kerana disebalik kejayaan itu pasti ada pendorong dibelakangnya. Kerana itu, ramai manusia punyai minat yang sama. Namun, mengapa ada yang berjaya menggilap bakat dan minat sedangkan yang selebihnya berada di takah yang lama. Sebetulnya, minat dan bakat yang digilap itu kembali kepada kemahuan dan usaha sendiri. Disamping sama-sama saling bantu- membantu, dorong-mendorong dan pugar-memugar agar sinar kejayaan dan peningkatan itu bertambah berkilau dan gemilang.

Saturday, January 29, 2005

RANTAIAN RENTAK PENAKU

Saya kira, tidak janggal mendengar warga kampus al-Ahar mengumpul majalah-majalah terkemuka tanahair seperti Mingguan Wanita, Jelita, Ujang dan gila-gila. Tidak kurang juga peminat setia novel-novel keluaran Alaf 21, juga tidak melepaskan peluang ini. Namun, berapa ramaikah yang berminat mengumpul majalah-majalah sastera seperti Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Sastera dan majalah-majalah lain di bawah terbitan DBP? Juga berapa ramaikah yang gemar menjadikan novel-novel sastera sebagai koleksi simpanan? Tidak keterlaluan jika saya katakan katogeri ini terlalu sedikit. Terlalu sedikit peminat-peminat majalah sastera dan novel-novel sastera.

Peringkat awal berjinak-jinak dengan sastera, saya temui majalah Dewan Siswa. Berusaha melanggan meskipun tika itu sekadar menikmati karya orang lain. Seawal usia 12 tahun saya lebih cenderung menghasilkan puisi moden, sajak. Namun tidak pernah pula terniat untuk mencuba nasib. Saya sekadar mendeklamasikan sajak tika ada majlis-majlis rasmi sekolah seperti sambutan Hari Guru dan Hari Qualiti khususnya. Namun saya ini terlalu minat pada subjek karangan Bahasa Melayu. Barangkali mewarisi minat ibu yang juga gemar akan mata pelajaran ini. Saat menyambut Majlis Sambutan Hari Qualiti sekolah, saya dengan senyum simpul akan naik ke atas pentas menerima hadiah bagi mata pelajaran terbaik, Bahasa Melayu. Hanya itu yang satu. Mata pelajaran yang lain, digondol oleh rakan-rakan yang lain. Tidak pernah terfikir oleh saya akan hala tuju minat dalam bahasa ibunda ini. Minat menulis cerpen kala itu masih belum tersemai dalam diri. Tetapi, minat itu mula tersemai dan berputik kala usia mencecah 15 tahun. Seingat saya, cerpen pertama yang terhasil berjudul ‘Nenek’, sekitar usia 16 tahun. Pada usia itu, hanya satu cerpen itu sahaja yang terhasil.

Dalam ripuh melumati pelajaran untuk menduduki SPM (1998), sesekali melepaskan penat dan jemu dengan mencoret beberapa fragmen di dalam sebuah buku khas. Sedikit demi sedikit dan akhirnya menjadi sebuah cerpen. Saya berikan tajuk cerpen tersebut ‘Rona Kehidupan’. Pada tahun 1999 dan 2000 saya tidak langsung menghasilkan cerpen. Betapa saya ini tidak produktif menghasilkan cerpen saat itu. Saya kembali menghasilkan cerpen sejurus selepas tamat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Sekadar dua buah cerpen terhasil sebelum menyambung pengajian ke Timur Tengah pada tahun 2001.

Pernah saya menghasilkan cerpen bertajuk ‘Kalau Dah Jodoh’ pada tahun 2002. Namun, atas kecuaian apa, cerpen tersebut hanya tinggal satu helaian. Entah bila saya dapat menyempurnakan cerpen itu buat kali kedua. Cerpen ‘Berdosakah Kita’, satu ilham yang lahir semasa menyelak-nyelak Majalah Muslimah, dalam sesak menghafal teks pidato bahasa Arab sambil bersantai membaca majalah tersebut. Sekembali daripada meraikan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan tanahair (PMHK), saya mula berfikir bagaimana mahu menghasilkan cerpen ini. Akhirnya, tercetus idea untuk memulakan cerpen ini dengan sesi dialog dua bayi yang tidak bernyawa. Di sini saya menampilkan bentuk penceritaan alam ghaib dan nyata. Saya selitkan ilmu bantu dengan harapan masyarakat sekeliling membuka mata, hakikat pengguguran janin yang berleluasa benar-benar berlaku di Singapura.

Saya kira, sesi 2003/2004 yang lalu agak produktif menghasilkan cerpen. Juga giat berbengkel. Tahun 2005 ini pula, baru terhasil satu cerpen seusai imtihan fasa pertama. Sungguh! Kritikan telah menemukan saya dengan kelemahan dan kesilapan diri. Jika dulu, muka merona merah dan telinga bagai berasap mendengar kritikan moderator dan ahli bengkel yang lain, tetapi sekarang, kritikan itu amat menyoronokkan. Terasa hampa jika sidang pembaca memuji, kerana itu bukan impian saya. Saya tidak ambil hati kala ketua moderator, Amiza Khusyri mengkritik teruk cerpen saya. Saya tahu, Amiza Khusyri tidak suka memuji kerana memandangkan pujian itu tidak akan bertahan lama, malah akan membunuh minat penulis untuk terus menulis. Lantaran itu, saya bangun daripada kritikan. Kritikan adalah suatu yang membina jati diri seorang penulis, juga membina identiti penulis. Untuk itu, jika anda mahu menjadi penulis jangan sekali-kali mengharap pujian, kerana pujian itu ibarat membunuh. Adakah kita berhak menerima pujian? Kerana apa yang dimiliki itu adalah anugerah Tuhan. Namun tidak salah pujian yang sedikit, sekadar pemugar semangat. Salam Karya.

Thursday, January 20, 2005

FIKIR-FIKIR KUCARI JAWABNYA

+ Semalam DPM Mansurah telah mengadakan Majlis Ucap Tema. Alhamdulillah berjalan lancar. Sekitar pukul 2 petang kami menyertai program Ikatan Mahasiswa Nusantara (IMAN 05). Bersama-sama menonton tayangan amal mangsa Tsunami dari Acheh. Suatu pengajaran buat kita yang bergelar Muslim.

+ Sesuatu telah mengelirukan saya, Kerajaan Keluarga Saudi telah memaklumkan bahawa Hari Wukuf di Arafah adalah pada hari Khamis 20/1/2005, Tetapi akhbar bertarikh ( 17/1/2005 ) telah memaklumkan, Kerajaan Arab Saudi tersalah kira dalam menetapkan hari wuquf itu dan meminda tarikh wuquf pada hari Rabu 19/1/2005. Justeru, pengumuman Hari Raya Aidiladha oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Malaysia adalah mengikut tarikh pertama yang ditetapkan oleh Saudi, menjadikan Hari Raya Aidiladha di Malaysia ialah pada Jumaat 21/1/2005. Kata Ulama di Malaysia, tidak mengapa kita di Malaysia tidak mengubah tarikh yang telah diumumkan tersebut kerana kita mengikut rukyah dan hisab. Setahu saya, Aidiladha di negara-negara selain Saudi ditetapkan bergantung kepada tarikh wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah. Maka Aidiladha jatuh pada hari berikutnya iaitu 10 Zulhijjah. Oleh itu, Malaysia telah ketinggalan 1 hari dari hari wuquf tersebut. Benarkah begitu? Semoga saya bertemu jalan yang lapang terhadap kekeliruan ini.

+ Saya telah menerima sepucuk surat daripada seorang sahabat di Malaysia. Dia meminta saya menemukan jawapan terhadap satu persoalan, adakah tupai boleh dimakan? Lantas, terus minda saya teringat apa yang telah dipelajari. Tupai boleh dimakan tetapi bukan pada zuruf di Malaysia. Oleh kerana masyarakat Islam di Malaysia tidak makan tupai, maka agak gharib jika kita memakannya. Tupai tidak tergolong dalam spesies binatang yang bertaring, berkuku tajam atau yang hidup dalam dua alam. Seingat saya, begitu hujah yang telah diberikan oleh tok guru saya. Namun saya harus mengkaji dengan lebih mendalam agar hujah ini bertambah kukuh. Jika kalian ada dalilnya, mungkin boleh dikongsi bersama.

Tuesday, January 18, 2005

SEMALAM, HARI INI DAN ESOK

+ Saya baru usai mengkhatami 'Rona Bosphorus'. Sangat menarik. Saya kira latar Timur Tengah sudah sinonim dengan Sdr Zaid Akhtar. Beliau punyai identiti tersendiri. Mungkinkah Sdr Zaid pernah ke Turki lantaran begitu baik novel yang dihasilkannya? Menggamit minat saya untuk menjejakkankan kaki ke sana. 'Islam' dan 'Bol', begitu suatu ilmu telah saya perolehi setelah membaca novel tersebut.

+Semalam saya telah mendapat panggilan telifon daripada seorang rakan sidang redaksi Info Mansurah. Dia meminta cerpen daripada saya. Semacam saya ini bank cerpen, saya tersenyum. Barangkali ramai menyangka, seorang penulis pasti punyai cerpen yang menggunung. Mungkin, tetapi saya belum sampai ke puncak itu. Agak runsing kala dia berbicara dengan saya. Insya-Allah, saya akan serahkan cerpen sebelum 19 Januari ini- begitu saya cuba menenangkannya.

+Saat ini saya agak kegersangan idea untuk menulis. Barangkali kurang membaca, kurang juga mengejar informasi terkini. Masakan tidak, semenjak awal imtihan, saya jarang ke cc. Jarang sekali mendapatkan maklumat terkini. Saya tidak akan boleh menulis jika tidak membaca. Lantaran itu, terlalu sukar memerah idea. Malang sekali, tika jemari bertemu papan kekunci, sekadar sedikir fragmen mampu dihasilkan. Kemudian idea terus mati. Minda terasa jumud. Terlalu! Semalam dan hari ini dunia sastera saya terlalu sepi. Esok masih beginikah? Hari ini saya sedaya memburu informasi terkini berlandas sedikit masa yang di curi ini.

+Saya tertarik dengan usaha Sdr Ubai ingin menerbitkan Antologi Cerpen. Saya juga berminat untuk menyertai. Tetapi ada sesuatu menghalangi saya. Sebetulnya saya kurang berminat menulis cerpen bertema cinta. Saya tidak menolak cinta dalam karya saya. Namun lebih gemar menjadikan cinta sebagai bumbu cerita bukan sebagai tema. Mengapa saya terlalu sukar menghasilkan cerpen bertema cinta? Mungkin itu kelemahan saya yang perlu dibaiki. Seperti cerpen Ubai 'Merdekan Cinta Rabiah', sangat menarik, perlu saya pelajari daripadanya.