Pages

Tuesday, May 31, 2005

INFO

SUDAH TERBIT!!!

Antologi Cerpen Penulis Muda esastera SALJU JABAL MUSA yang menghimpunkan karya-karya Ghafirah Idris, Amiza Khusyri, Fahd Razy, Ida Munira Abu Bakar, dan Nimoiz TY.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut sila layari http://esastera.com/kedai/ ATAU emel kepada saljujabalmusa@yahoo.com

BIODATA PENULIS
1] GHAFIRAH IDRIS Mendapat pendidikan awal di SMKAP, KISAS dan kini menuntut dalam jurusan Usuluddin di UIA. Karya-karya beliau pernah tersiar dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Agama dan Falsafah, Majalah I, ANIS, Sarina, Dara.com, Fokus, Buletin Ma'al Hijrah Perlis, Majalah Mahasiswa (Terengganu) Universiti Al-Azhar Mesir, Sutera Terengganu, Radio IKIM.fm, Radio 3 Kangar dan www.esastera.com. Mendapat hadiah utama (kategori cerpen), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2003 (Eksperimen 5S) yang termuat dalam antologi Belati Cinta Zulaikha (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2004) dan kategori Cerpen Remaja 2004 (Telah Diberinya Hati) dan tempat Kedua Anugerah Cerpenis Alam Siber 2004. Merupakan mantan MPR 2004.

2] NIMOIZ T.Y Nama penuhnya Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub dan mendapat pendidikan di SKI, SMKI, SMTKK dan di Fakulti Kejuruteraan, KUiTTHO dalam jurusan Kejuruteraan Awam. Hasil tulisan termuat dalam buku bersama Apas, Sajen, Selagi Ombak Mengejar Pantai 8, Hostel: Debaran Kedua dan Bayi Kota Berahi selain tersiar di Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Pentas Dunia, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, Majalah I, Sarina, Remaja, URTV dan Radio IKIM.fm. Menerima Anugerah Penyair Alam Siber 2003 dan 2004, Anugerah Novelis Alam Siber 2004, Johan Pertandingan Menulis Puisi Merdeka KUiTTHO 2003, Hadiah Utama Sayembara Perang e-Sastera 2003, Saguhati Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2003 dan hadiah Puisi Sains Karyanet 2004. Baru menerbitkan Kumpulan Puisi, Jalan Baru (2005). Merupakan mantan MPR 2004.

3] FAHD RAZY Nama penuhnya Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy penulis Selangor yang menuntut di Royal College of Surgeon In Ireland, Dublin. Puisi Inggeris beliau termuat dalam antologi 'The Colors of Life', 'International Who's Who In Poetry' dan 'The Best Poems and Poets of 2004' di United States. Karya-karyanya termuat dalam antologi puisi Tunas Jiwa serta media seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Sarina, URTV, Harian Metro, Dewan Budaya, Anis, Cahaya, makalah Kunang-Kunang Kampus, buletin PPIMI Al Alhbar serta www.esastera.com dan lain-lain. Memenangi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 2000, Hadiah Puisi Sains Karyanet 2004, Ketiga Anugerah Cerpenis Alam Siber 2004 dan Saguhati Penyair Alam Siber 2004 serta Pertama Pertandingan Cerpen Remaja Nasional I 2005. Merupakan mantan MPR 2000.

4] IDA MUNIRA ABU BAKAR Beliau mendapat pendidikan di Johor, Perak, Selangor dan kini melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) (Kewartawanan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Karya beliau pernah tersiar dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, URTV, Sarina, www.esastera.com dan lain-lain. Puisi-puisi beliau turut termuat dalam antologi bersama Apas dan Sajen. Memenangi tempat pertama Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2003 (Hadiah eSastera.Com) serta menerbitkan kumpulan puisi 'Pendatang Malam'. Beliau juga Merupakan mantan MPR 2004.

5] AMIZA KHUSYRI YUSOF Penulis Negeri Sembilan yang mendapat pendidikan di Univesiti al-Azhar, Mesir. Menerbitkan novelet 'Sejernih Salsabila' serta karya pernah tersiar dalam Berita Minggu, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, Mingguan Wanita, www.esastera.com dan media-media mahasiswa Malaysia Al-Azhar di Mesir seperti SUTRA, SKENS, SEGA dan lain-lain. Memenangi hadiah ketiga Sayembara Penulisan Kreatif anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) 2003 dan dibukukan dalam Antologi Cerpen dan Puisi PEN-Gema Serunai Hati 8. Juga merupakan ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI).


Program Bicara Karya & Malam Baca Puisi eSastera.com
Portal sastera di talian, eSastera.com terus merancakkan dunia sastera tanahair dengan pelbagai program dan aktiviti yang tidak hanya berlangsung secara maya, tetapi jugak turut menemui khalayak secara langsung. Terbaharu, eSastera.com akan menganjurkan program Bicara Karya & Malam Baca Puisi eSastera.com di Kota Bharu, Kelantan.Program berkenaan akan diadakan pada 10 Jun ini bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu adalah merupakan program hasil kerjasama eSastera.com dengan Kerajan Negeri Kelantan dan juga Dewan Bahasa & Pustaka.Program ini terbahagi kepada dua sesi bermula jam 2 petang hingga 11 malam. Pada sesi pertama (2 petang - 5 petang) merupakan majlis pelancaran dan diskusi karya-karya penulis eSastera.com iaitu novel 'Hostel : Debaran Kedua' dan antologi cerpen 'Salju Jabal Musa'. Panel yang akan membicarakan teks novel berkenaan ialah Sasterawan Negara Prof. Dr. S. Othman Kelantan dan Prof. Madya Dr. Mohammad Mokhtar Abu Hassan (UM). Manakala bagi antologi cerpen pula akan didiskusikan oleh Sasterawan Negara Dato' (Dr) A. Samad Said dan Mohammad Daud Mohammad (DBP). Majlis berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka yang baru, Prof. Datuk Dr Firdaus Abdullah.Manakala pada sebelah malamnya pula iaitu untuk sesi kedua, akan berlangsung Malam Baca Puisi eSastera.com. Majlis berkenaan akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.00 malam. Majlis berkenaan yang akan diadakan dalam bentuk makan malam sambil dihidangkan dengan persembahan-persembahan berupa deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi, teater monolog, persembahan sajak siber, dan juga dikir puisi. Beberapa deklamator terkenal akan turut terlibat dalam persembahan ini termasuk dari komuniti esastera.com seperti Sasterawan Negara Dato' (Dr) A. Samad Said, Sasterawan Negara Prof. Dr. S. Othman Kelantan, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (Irwan Abu Bakar), Dr. Victor A. Pogadev, Anual Bakri Haron (AnBakri), Abdul Halim Karim (AhKarim), Shamsul Zakaria (Airmas_SZ), Khairunnasriah Abdul Salam (Nasa Natrah), Wan Nur Ilyani Wan Abu Bakar (Kablam_22), deklamator dari Persatuan Penulis Kelantan serta pasukan dikir barat MPKB.Semua ahli eSastera.com adalah dijemput mengikuti majlis ini yang akan turut menemukan antara ahli komuniti dari pelbagai tempat. Penyertaan kepada acara ini adalah terbuka dan percuma kepada semua. Memandangkan tempat adalah terhad (sesi 1 - 100 penyertaan pertama, dan sesi 2 - 200 penyertaan), pendaftaran kehadiran diperingkat awal adalah dialu-alukan. Sebarang pertanyaan, maklumat lanjut dan juga pengesahan kehadiran boleh dibuat melalui setiausaha program, Sdr Mohd. Dahri Zakaria (012-370 6051) atau Dr Irwan Abu Bakar (019-268 0086) atau melalui e-mail : deewaqaf@yahoo.com.

Tuesday, May 24, 2005

'MANA ABAH...MANA MAMA?'

'Mana abah...mana mama?' Mama di sini sayang. Abah juga di sini. Kak Long dan adik juga di sini. Sayang, teruskan hidupmu. Meski ada keperitan teruskan jua hidupmu sayang. Bukankah Abang Ngah dan Abang Lang masih ada? Sayang masih ada abang untuk bermanja. Ingat sayang, Allah telah menjemput mama, abah, Kak Long dan adik. Sayang, usah difikir tentang mama lagi. Mama aman di sini. Mama akan menunggu sayang di sini. Suatu hari kita pasti bertemu kembali dalam satu keluarga. Dalam rumah baru kita ini pasti bersatu. Hanya taqdir Yang Maha Kuasa bisa menentukan. Hanya dengan izin-Nya kita akan bersama. Bersabarlah sayang...

KOTA BHARU: 'Mana abah...mana mama?' itulah soalan sering ditanya oleh Muhammad Aiman Firdhaus Rozlan sejak dia dan dua abangnya menjadi yatim piatu apabila ibu bapa, kakak serta adik bongsu mereka terkorban dalam nahas jalan raya awal pagi kelmarin.
(petikan berita dari: http://www.bharian.com.my/)

Salam takziah buat keluarga adik Aiman Firdhaus. Semoga roh ibu bapa serta kakak dan adiknya dicucuri rahmat.

Tuesday, May 17, 2005

WARKAH ELEKTRONIK UNTUK MIR II

Terima kasih Mir kerana membalas warkah elektronikku. Sekarang aku mengerti, mengapa kau bertindak begitu. Namun Mir aku kesal dengan sikapmu kerana terlalu cepat mentafsir tingkah laku manusia. Katamu kau memaafkan kawan-kawanku tetapi dalam bicaramu itu aku tahu ada luka dan dendam. Katamu kau mahu bersahabat dengan orang-orang yang ikhlas namun pernahkah kau tahu keikhlasan itu terlalu sukar dinilai. Terlau cepat kau mentafsir keikhlasan hati dan budi manusia. Mir, aku tidak dapat menerima alasanmu yang begini Mir. Mengapa pula jika kau enggan berkawan dengan orang-orang yang tidak ikhlas aku turut menjadi mangsa? Mengapa jika mahu menjauhkan diri daripada mereka kau turut membuang aku, sedangkan antara aku dan mereka, hanya aku yang mengerti tiap bicara dan tingkah lakumu. Mengapa harus diputuskan ikatan ukhuwah ini sedang kita sudah lama bersaudara. Mir, kasih sayangku padamu tidak lebih daripada kasih sayang seorang adik kepada abang. Kau pernah berkata dan pernah memugar semangatku. Katamu hidayah Allah ada di mana-mana. Hidayah Allah juga barangkali akan disampaikan melalui seseorang manusia sebagai pengantara tanpa sedar. Itu kata-katamu Mir. Tetapi mengapa begini Mir? Katamu kau tidak mahu berkawan dengan orang-orang yang membunuh dan melemahkan semangatmu. Adakah aku membunuh semangatmu? Katamu tidak. Oleh itu mengapa kau bunuh dan padam memori kita. Mengapa kau buang aku dari kantong emelmu?

Mir sesuatu mahu aku sampaikan, jangan terlalu mudah mentafsir diri ini. Kau mahu menjaga hakmu tetapi pernahkah kau tahu sejauh mana kau menjaga hak sahabatmu dan adikmu ini. Tika kau mahu kau utusi aku Mir. Tika kau enggan kau buang aku. Beginikah sikapmu yang aku kenal Mir? Mir mengapa kau berubah hanya kerana sedikit kekejian yang terpalit di wajahmu. Sudah aku katakan, dengan rendah diri dan hina aku harungi kepayahan demi membersihkan kekejian yang terpalit di wajahmu itu. Ah! Kerana kau tidak pernah tahu dan tidak pernah melihat usahaku itu, terlalu senang kau mentafsir. Kau berpesan agar aku menjaga kesihatan dan pelajaran. Tetapi tahukah kau, kesihatanku akan terganggu kerana bicaramu ini Mir. Pelajaranku juga sekarang ini entah kemana kerana sikapmu. Mir, terus terang aku katakan, kau telah membunuh jiwa dan semangatku. Mir, aku berdoa semoga Allah menemukanmu dengan jalan kebenaran. Aku tidak meminta kau tahu sedalam mana usaha ini membersihkan namamu. Namun biarlah kematianku nanti merungkai segala. Mir, cukup sampai di sini. Warkah elektronikku yang terakhir.

Sebelum mengundur diri ingin kunyatakan, aku sekarang terlantar di wad. Aku hanya menunggu masa untuk kembali menemui Pencipta Agung. Hanya papan kekunci ini peneman setiaku dan Dinalah yang menaip semua yang terbuku di hatiku. Aku mengerti Mir, kala saat gembira kau hadir berkongsi tawa, namun saat aku derita terlantar gering menghitung jarum saat, kau hilang entah kemana. Mir, semoga kau bahagia.

Lilin yang bercahaya itu sudah mulai malap.

Salam Ukhuwah,
Ain Syafika
Mu'tah
THE HASHEMITE KINGDOM OF JORDAN.

WARKAH ELEKTRONIK UNTUK MIR

Mir, maaf andai kantong emelmu penuh hari ini kerana aku yang memenuhkan. Kita sentiasa berbicara seputar dunia dan isinya. Tetapi hari ini, emelku mungkin akan menyesakkan dadamu kerana kata-kata yang bakal kunyatakan ini akan membuncah jiwamu. Mengapa acapkali bila mahu menyatakan kebenaran akan ada natijah yang menyakitkan? Kuharap kau mengerti Mir, bukan kata-kataku ini berniat mahu menyakiti hatimu. Tetapi mengertilah, sesak dadaku kala ada tohmahan menikan dirimu. Dan aku, apa yang harus kulakukan, hanya melayangkan warkah elektronik buat tatapanmu agar kita sama-sama berkongsi cirita dan derita. Mir, masih kau ingat saat degilku menggila, aku yang terlalu nakal ini buat kau pening kepala. Aku menganggapmu sebagai abang kandungku lantaran usia kita menjarak lima tahun. Kemana sahaja kita bersama. Meskipun aku tidak punyai abang, namun aku bangga kerana kau sering mengaku aku ini adikmu. Saat aku lemas dalam keruh sungai di hujung kampung, kau telah menyelamatkanku. Aku dimarahi ibu tetapi kau membela, katamu: makcik saya yang mengajak Ika bermain di tebing sungai. Ibu hanya membisu. Aku tahu ibu sayang kita berdua. Kadang-kadang aku rasa cemburu kerana ibuku sering melebihkanmu dalam apa jua hal. Tetapi aku faham, kau juga berhak merasai kasing sayang seorang ibu. Lantaran itu aku buang jauh rasa cemburu itu kerana aku sayang kepadamu. Kau selalu berpesan agar aku tidak terlalu nakal kerana katamu: abang penat nak layan perangai Ika tau! Lasak macam budak lelaki, pening kepala abang. Aku hanya tersenyum dan pura-pura tidak mendengar. Kau juga selalu bercerita tentang Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya. Aku memang gemar mendengar dan kadang-kadang begitu ralit dengan aksi-aksimu yang melakonkan watak Si Tanggang itu. Kau juga sering bercerita perihal guru kesayanganmu. Katamu, Cikgu Hamidah terlalu baik padamu dan sering memberi tunjuk ajar dan bimbingan. Kita selalu berbual-bual di atas jambatan sambil memerhati air sungai yang mengalir.

Masih kau ingat Mir, kita sama-sama meraikan "Hari Ibu" di malam tanggal 8 Mei itu. Ketika itu usiaku 7 tahun. Aku suapkan kek ke mulut ibu, kau juga begitu. Kau kemudian menyuapkan kek ke mulutku. Tetapi aku lain hal pula. Aku sumbat potongan kek ke mulutmu hingga mulutmu comot dan bajumu kotor. Aku ketawa besar namun kau hanya tersenyum. Begitu juga semasa sambutan "Hari Guru" di sekolah. Otakku sentiasa ligat merencana agenda nakal. Aku tukar hadiah yang sudah kau baluti kemas dgn kotak yang berisi seekor lipas. Hadiah itu untuk guru kesayanganmu, Cikgu Hamidah. Saat membuka hadiah itu Cikgu Hamidah terjerit dan aku ketawa besar. Kau begitu cemas kerana khuatir Cikgu Hamidah akan memarahimu. Tetapi Cikgu Hamidah tidak begitu, sebaliknya dia tersenyum dan terus mendapatkanku lalu memicit hidungku seraya berkata: Ika memang nakal suka kenakan abang ya? Kasihan abang Ika.

Mir, saat itu sudah lama berlalu dan kita telah dewasa. Kita telah dipisahkan oleh sempadan dan masa. Aku sering bercerita perihalmu kepada rakan serumahku. Mereka memujiku kerana mempunyai abang sepertimu. Tetapi Mir, saat mereka tahu kau bukan abang kandungku, mereka mula meracuni fikiranku. Hati dan kepercayaanku mula tergugah. Kata mereka: kau hanya berpura-pura baik kerana mahu merampas kasih sayang ibu daripadaku. Kata mereka lagi...Ah! Terlalu banyak Mir hingga aku berperasangka buruk kepadamu. Mir, mengapa kau menyepi? Mengapa kau tidak membalas surat elektronikku sebelum ini. Aku mahukan kepastian. Aku mahu buang prasangka burukku kepadamu. Setelah aku ceritakan banyak perkara kepadamu sebelum ini, kau terus membisu. Mengapa Mir?

Mir, mungkin ini warkah elektronikku yang terakhir untukmu. Maafkan aku kerana aku tidak bisa memanggilmu abang seperti selalu. Aku hari ini berasa terlalu asing untuk berhadapan denganmu. Aku kira kita tidak seperti 24 tahun yang lalu. Kau terlalu asing bagiku. Mir, aku tidak lagi seperti Ika yang kau kenali dulu. Aku juga punyai hati dan perasaan. Aku juga bukan lagi budak tomboy seperti zaman kanak-kanakku. Aku adalah Ika yang sudah jauh mengenal hati dan budimu. Maafkan aku andai warkah elektronik ini membuncah jiwamu. Kukira kau mengerti semua ini. Terima kasih atas didikanmu selama ini. Semenjak pemergian ibu, aku hilang tempat bermanja dan mengadu. Kau kukira adalah ibu dan guruku. Aku tidak mahu kehilangan ibu dan guru yang kedua ini. Mir, kau adalah lilin yang berbudi buatku. Maafkan aku diatas segala kedegilan dan kesilapanku kepadamu selama ini. Aku sudah buang segala prasangka burukku kepadamu. Aku tidak akan peduli lagi pada kata-kata mereka. Aku yakin kau adalah Amir Arif yang kukenal dulu. Andai kata-kataku yang lalu telah merobek hatimu, hukumlah aku. Mir, mengertilah aku tidak akan senang dengan situasi begini sehingga kau membalas warkah elektronikku ini. Mir, aku mahu kembali pada memori kita di zaman kanak-kanak. Sungguh! Kaulah lilin berbudi. Mir terima kasih, "Selamat Hari Guru".

"Tidak salah mencari kekayaan dan kesenangan yang halal, banyak pun tidak mengapa tetapi hendaklah takut dengan Tuhan kerana ia selalu sahaja menjadikan kita sombong dan melalaikan kita."

Mir, terima kasih atas kata-kata ini. Akan aku kenang hingga akhir hayatku.


Yang Jauh,
Ain Syafika.

Wednesday, May 11, 2005

SETIA CINTAKU

Meski ramai berkata
Ombak setia menghempas pantai
Namun mereka enggan mengerti
Setia pantai tak berbelah bahagi
Walau perit,
digodam belati cinta.

Ombak bebas ke tengah ke tepi
Mengocak bebuih cinta
di laut yang tenang
Mengelus, membelai dan bermesra
pada laut yang luas terbentang.

Saat ombak menagih cinta
pada laut yang tampak jelita
Pantai hanya membisu
membiarkan ombak melayan asmara
walau atma parah terluka.

Lalu suatu ketika...
Laut tenang mula gelora
hingga ombak terdampar
ke tepian pantai.
Saat itu,
Ombak mengadu kepada pantai
Dan pantai,
Masih setia mendengarnya.

Inilah aku...
Pantai yang setia
pada cintaku kepada ombak
Meski saat ditinggal ombak
jiwaku pilu menahan sendu
Tanpa daya kubiarkan ombak
dengan asmara cintanya
mengejar laut yang tetap bergelora.

Namun...
Kerana setia kasihku
ombak pulang kembali
Menagih cinta,
pada pepasirku nan memutih
Dan aku sambut salam cintanya
dengan harapan terbentang luas
Tetapi ombak hanya membalas
dengan hempasan yang menyakitkan.

Hari-hariku meski begitu
Sering kesunyian
Tegar memujuk hati
Ombak akan kembali
Bila tiba saatnya
Kerana kutahu
Ombak akan menghempas pantai
Dan aku pantai
Sedikit tidak berubah
Takkan serik menagih cinta
Pada ombak yang tak setia.



Wednesday, May 04, 2005

DIALOG MEREKA

Penonton: Mengapa raja tidak berkuasa sekarang ini?
Pelakon: Kerana hamba nak merajai.

Penonton: Mengapa raja tidak menunjukkan kuasa?
Pelakon: Kerana raja takut pada kuasa hamba yang hebat.

Penonton: Mengapa raja membiarkan segala perlakuan hamba?
Pelakon: Kerana raja tidak lagi berkuasa. Kuasa raja pula telah dirampas oleh hamba dan kuasa hamba yang hebat itu telah menghancurkan semua sistem pertahanan raja.

Penonton: Mengapa singgahsana raja sudah kelihatan gelap, tidak bercahaya?
Pelakon: Kerana singgahsana raja dikawal ketat oleh tentera-tentera hamba yang hodoh, jahat dan berbaju gelap itu lalu diselaputi debu-debu kezaliman.

Penonton: Apa akan jadi kepada raja?
Pelakon: Raja akan turun tahta.

Penonton: Bagaimana pula dengan hamba?
Pelakon: Hamba akan menggantikan tempat raja.

Hamba: Hahahaha!!! Aku berjaya. Aku akan ubah semua sistem pentadbiran dan pertahanan.

Pengawal peribadi raja: Hentikan perbuatanmu!!! Selagi hayat dikandung badan, selagi kudratku bersisa, akan kupertahankan maruah, kuasa dan kedudukan raja. Aku akan membela raja berpaksi kebenaran. Usah kau bermimpi wahai hamba yang tamak.

BARISAN PELAKON,

PENONTON: akal manusia yang bertanya
PELAKON: lidah manusia yg menjawab
PENGAWAL PERIBADI: iman manusia yang umpama senipis kulit bawang
RAJA: hati manusia
HAMBA: nafsu manusia

INTROSPEKSI:
1. Akal bertunjang nafsu akan merosakkan iman dan badan.


2.Hati yang dikawal iman akan melahirkan tindakan waras yang dikerjakan oleh akal.

3. Nafsu lebih dasyat daripada kuasa syaitan, sentiasa mahukan kebebasan bertindak.

4. Nafsu yang dipandu oleh akal yang waras, iman yang sempurna dan hati yang bersih akan membenteng diri daripada melakukan maksiat dan keburukan.

5. Di dalam tubuh manusia ada seketul daging, jika baik daging itu baiklah semua anggotanya jika jahat daging itu maka jahatlah semua anggotanya. Seketul daging itu adalah hati.