Pages

Sunday, February 12, 2006

CINTA SEORANG NISA

"Kebiasaan wanita, apabila merasa semacam mahu jatuh cinta, pasti akan cuba mengelaknya daripada terjelapak jauh."

Dia adalah Nisa. Persis seorang Zulaika yang kecamuk cinta terhadap Yusof. Sering menghantar mimpi ke ruang rasa. Mahu mencari titik erti sebuah cinta. Namun akhirnya terdampar dalam lautan yang bergelora.

Pernah Nisa dalam persimpangan, lantaran ujian menimpa. Mencari semulus pengorbanan, mahu meninggalkan cinta manusia atau cinta Yang Esa.

Atas rahmat Tuhan Yang Maha Kaya, cinta manusia menyinggahi atmanya. Nisa tidak terdaya mengelak, kerana penangan cinta sakit menghentam sukma. Lalu Nisa menjaga sepenuh hati, memohon atas rasa abdi agar restu Tuhan sentiasa mengiringi.

Saat cincin pertunangan tersarung dijari, hati Nisa berbunga dengan harap dan doa agar jodoh berpanjangan.

Namun Rijal yang tidak persis Yusof itu lain cara. Hilang budinya.

"Kebiasaan lelaki apabila sudah dapat apa yang dicita, jarang sekali mahu menghargai."

Rijal itu telah mengubah arah cinta Nisa. Hingga Nisa yang taat mengabdi diri kepada Tuhan, terleka dengan penangan cinta Rijal. Janji Rijal buat Nisa terpegun, hingga yakin mahligai bahagia akan menjelma.

Tetapi Rijal itu apakah tujuannya? Hati Nisa, senipis kulit bawang itu dicarik-carik. Rijal hilang santun dan budi. Jauh sekali mahu menghargai pengorbanan cinta Nisa.

Siang dan malam Nisa berendam airmata. Apakah takdir Tuhan untuknya. Hingga ujian itu metah terasa. Akhirnya Nisa faham, Tuhan maha Mengetahui. Hanya Nisa yang tabah menerima. Cinta sejati hanya untuk Ilahi dan Nisa pasrah saat cincin pertunangan terlucut daripada jari. Nisa cekalkan hati kerana Nisa tahu pasti ada ganti yang lebih menghargai.

Kini Nisa sudah terasa, kembara cintanya hanya pada Yang Esa. Cinta Nisa kepada Rijal telah berkubur tanpa nisan. Sudah lenyap daripada ingatan. Dan Nisa hanya berdoa agar cinta sucinya kepada Yang Esa, bisa membara hingga ke hujung usia.

No comments: