Pages

Sunday, February 05, 2006

PEDIH YANG BELUM HILANG

Asal kami bukan orang senang. Kami golongan miskin harta. Ibu dan ayah kami berkerja sebagai penoreh getah. Kami tinggal dalam teratak yang telah usang dimakan waktu. Saat hujan lebat dan angin kencang bertiup, atap zink rumah kami bersipongan bunyinya. Tapi kami tidak pernah mengeluh. Kami sudah biasa dengan hidup yang begitu. Sangat kami kagum, semangat dan kecekalan ibu dan ayah terlalu tinggi kerana tidak pernah lelah mencari rezeki. Kami tidak pernah lihat ibu dan ayah meminta-minta. Kami lihat ibu dan ayah berkerja pagi dan petang. Mereka sangat gigih demi memastikan kami dapat menghirup secawan air dan menikmati sesuap nasi setiap hari.


Tapi kami sangat hairan. Kami tidak pernah lihat Mak Long menjenguk kami. Mak Long satu-satunya kakak ibu. Ibu hanya dua beradik. Ayah pula anak tunggal. Mak Long orang senang. Banyak harta. Anak-anak Mak Long semua sudah berumah tangga. Rumah Mak Long cantik, besar dan indah. Sekali sahaja kami pernah ke rumah Mak Long. Saat itu kami masih kanak-kanak. Ayah dan ibu bawa kami ke sana, kerana anak sulung Mak Long mendirikan rumah tangga.


Kami masih ingat, saat tiba di rumah Mak Long, suasana begitu meriah. Ramai tetamu datang. Kami tidak sabar menunggu ketibaan pengantin baru. Hati kami sangat girang. Apabila terdengar paluan kompang, kami menyelit-nyelit dicelahan orang ramai kerana mahu lihat wajah pengantin. Kami puji wajah pengantin yang sangat cantik dan tampan saat melihat keduanya berjalan beriringan. Tetapi saat itu juga kami dengar bunyi riuh rendah. Kami toleh ke arah suara itu. Kami lihat Mak Long dan Pak Long cakap sesuatu kepada ayah dan ibu. Kami tidak jelas apa yang mereka cakapkan kerana suasana sangat bising dikepung suara penyanyi jemputan. Kami lihat Mak Long tunjuk-tunjuk jari ke arah ayah dan ibu. Kemudian kami lihat ibu menangis dan ayah pula wajahnya sugul dan kusam. Orang ramai yang ada di situ semua menancap pandangan kearah ayah dan ibu. Tidak lama selepas itu ayah dan ibu ajak kami pulang ke rumah. Kami kata pada ayah dan ibu; kami belum makan nasi dengan pengantin. Kata ayah; tak apalah kita makan lain hari. Ayah dan ibu juga belum makan. Mari kita makan bersama di rumah. Kami masih tidak mengerti apa yang berlaku. Kami tanya kepada ibu; mengapa ibu memangis. Jawab ibu; ibu menangis kerana terlalu gembira. Gembira lihat anak Mak Long sudah berumah tangga.


Kami pulang ke rumah dengan motor buruk milik ayah. Saat sampai di rumah, ibu terus ke dapur. Kami lihat ibu basuk beras dan menanak nasi. Kemudian kami lihat ibu goreng ikan asin. Baunya sangat menyelerekan. Kami ke dapur tolong ibu potong bawang besar dan kupas kulit kentang. Kemudian kami lihat ibu goreng kentang dan bawang tersebut. kami tanya ibu; bila kita boleh makan lauk ayam? Jawab ibu; nanti minggu depan jual getah buku ibu belikan. Sejak hari itu, ayah dan ibu tidak pernah bawa kami ke rumah Mak Long. Kami tidak tahu mengapa.


Ayah dan ibu sangat gigih membesar dan menyekolahkan kami. Setiap pagi ibu akan menyisir rambut kami. Ayah pula menghantar kami ke sekolah. Mereka sering berpesan agar kami belajar rajin-rajin. Kami sentiasa ingat pesan ayah dan ibu. Kami masih ingat suatu masa dahulu, motosikal ayah rosak. Mujur ada basikal tua. Basikal itu ayah gunakan untuk menghantar dan menjemput kami ke sekolah. Saat hujan turun, kami dan ayah basah kuyup. Pernah juga basikal buruk ayah pancet di tengah jalan. Kami masih ingat semua itu. Masih ingat hingga kini.

No comments: