Pages

Thursday, August 10, 2006

KENANGAN DI COSTA-RICA

KENANGAN DI COSTA- RICA




Rata-rata penulis yang mengikuti seminar Persuratan dan Peradaban Nasional di Port Dickson 4-6 Ogos lalu, melaporkan pengalaman yang hampir sama di blog masing-masing. Biar saya menulis catatan polos ini dari sudut yang berbeza. Semasa di sana saya di tempatkan dalam Bengkel Pantun. Pembimbingnya adalah Cikgu Ali Badron. Meskipun saya menggemari pantun namun saya tidak mahir bikin pantun yang mempunyai lapan rima. Kebiasaan hanya berjaya menghasilkan empat rima sahaja.

Tips ini diberikan oleh Cikgu Ali untuk menjadi seorang pemantun yang baik:

+ Pantun perlu mempunyai:

1. Nilai sejarah.
2. Nilai moral.
3. Menggambarkan persekitaran atau alam
4. Andaian yang munasabah.

Contoh:

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

* Menurut Cikgu Ali, dari Pulau Pandan memang dapat dilihat Gunung Daik. Justeru Pulau Pandan dan Gunung Daik berada dalam lingkaran yang sama. Inilah yang dikatakan pantun yang mempunyai andaian yang munasabah.

+ Pantun yang baik adalah:

1. Baris pertama dan kedua mempunyai kaitan.
2. Ada cerita ataupun kisah.
3. Perkataan yang mudah-mudah dan senang difahami.

+ Pantun yang kurang baik atau bersalahan:

1. Baris pertama dan kedua tiada kaitan.

Contoh:

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Sungguh jauh beribu batu
Hilang di mata di hati jangan.

* Pucuk pauh dan anak sembilang tiada kaitan dan persamaan yang boleh dijodohkan dan dijadikan rantaian kisah.

2. Tiada cerita ataupun tiada kisah.

+ Pantun yang lemah:

1. Setiap baris ada kaitan tetapi rima tidak sama.

+ Pantun yang baik dari sudut pengadilan:

1. Baris pertama dan kedua ada kaitan.
2. Ada cerita atau kisah.
3. Rima di tengah dan di hujung untuk pembayang dan maksud adalah sama.

Contoh:

Tumbuh tinggi pohon kelapa
Masak tua dibuat santan
Indah budi kerana bahasa
Indah bahasa apa gerangan?


+ Format pertandingan pantun:

1. Mesti ada soalan yang harus ditanya.
2. Intonasi seperti pantun yang dibacakan oleh Nordin Ahmad (Pantun dagang Pak Malau), bukan intonasi yang biasa diperdengarkan dalam pertandingan pantun (intonasi yang tinggi di hujung suara).
3. Jangan bertanya: Kalau tuan bijak pandai (yang seumpamanya) kerana melanggar nilai estetika.
4. Jangan guna bahasa baku kerana akan menghilangkan keindahan pantun.

Demikian catatan ringkas untuk Seminar Persuratan yang telah berlangsung. Mungkin ada tips-tips yang tertinggal tidak dapat saya catatkan. Ini adalah kenangan yang sangat berharga, kerana saya memperolehi sesuatu yang sangat bermakna.

No comments: