Pages

Monday, January 30, 2006

NIAT HIJRAH YEN

Semalam Yen dipukul lagi, dengan kayu besar. Badan Yen berdarah, melecet dan lebam. Yen menangis teresak-esak. Yen tidak melawan. Yen menjerit kesakitan. Dia tolak Yen dengan kuat hingga Yen terperosok ke hujung kamar. Kepala Yen terhantuk di dinding. Yen raba-raba kepalanya yang sakit sambil mengesat airmata yang tumpah di pipi. Yen tidak tahan diperlaku begitu setiap hari. Yen takut untuk bersuara. Yen takut pukulan yang lebih kuat singgah di tubuh. Sebab itu Yen mendiamkan diri. Yen mengerang kesakitan. Yen hanya mampu menyebut nama arwah ayah dan ibunya.

Yen memegang perutnya yang sudah berkeriut. Yen sangat lapar. Sehari hanya sekali Yen dapat menjamah nasi. Hanya nasi kosong. Minuman pula hanya air paip. Tapi Yen tidak kisah. Asalkan dapat makan dan minum, Yen sangat gembira. Tubuh Yen sudah kurus kering hingga nampak tulang temulang. Kepala Yen pula botak kerana rambut Yen gugur dengan banyak setiap hari. Wajah Yen pucat lesi dan cengkung. Gigi Yen sudah banyak yang rongak. Mata Yen pula semakin sepet kerana terlalu lama tidak memandang cahaya. Yen tinggal dalam sebuah bilik kecil yang gelap dan gelita. Dia kurung Yen dalam bilik sempit itu.

Yen bukan orang gila. Yen tidak meracau-racau apabila bercakap. Yen hanyalah seorang insan, yang kurang sempurna akal. Masa kecil-kecil dahulu Yen pernah bersekolah. Yen sekolah hingga lulus SRP. Hanya itu tahap persekolahan Yen. Yen juga pernah bekerja. Mengambil upah potong rumput, cuci longkang, jadi tukang sapu dan bermacam lagi kerja Yen lakukan. Yen memang lurus bendul. Yen selalu ditipu oleh kawan-kawan. Apabila Yen dapat gaji, sebahagiannya Yen beri pada kawan-kawan. Jika Yen tidak beri, mereka akan belasah Yen. Baki yang tinggal pula Yen beri kepada Dia. Jika Yen tidak beri, Dia akan pukul Yen. Yen tidak kisah dengan duit. Yen tidak tahu mahu buat apa dengan duit. Setahu Yen, duit digunakan untuk membeli makanan dan minuman sahaja.

Suatu hari, selepas terima gaji daripada majikan, duit Yen habis dicuri. Yen sangat takut. Yen takut Dia akan pukul Yen. Sangkaan Yen memang betul. Apabila Dia minta duit daripada Yen, Yen kata duit itu sudah dicuri. Tapi Dia tidak percaya. Yen pukul Yen hingga pengsan. Sejak hari itu Yen tidak dibenarkan keluar rumah. Yen tidak dibenarkan berkerja. Yen dikurung dalam bilik kecil itu, seperti mengurung kucing di dalam sangkar. Yen mahu lari dari rumah itu. Yen mahu lari. Yen mahu hidup seperti insan lain. Yen mahu berhijrah. Hijrah daripada kesakitan, kesengsaraan dan penderitaan kepada kedamaian, ketenangan dan kebebasan. Itu niat Yen setiap hari. Tapi entah bila akan tercapai. Yen sabar menunggu. Pasti Allah akan beri suatu hari nanti kerana Yen tahu, manusia yang sabar adalah manusia yang beriman dan dikasihi Allah.

Diari Online mengucapkan Salam Maal Hijrah 1427 kepada semua pengunjung setia DO.

Sunday, January 22, 2006

ANTOLOGI PENULIS MUDA DARUL KHUSUS

PERSATUAN Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan menerbitkan Antologi Penulis Muda Darul Khusus yang menghimpunkan karya-karya penulis muda Negeri Sembilan (NS) dalam genre cerpen dan puisi. Penerbitan antologi ini bertujuan menghimpun dan memperkenalkan penulis-penulis muda NS yang berbakat dalam dunia kepengarangan kreatif, di samping memakmurkan gerombolan penulis muda tanah air sedia ada.

Justeru, PEN mempelawa semua penulis NS yang berumur bawah 35 tahun untuk menghantar karya dalam dua genre tersebut dengan syarat : anak jati NS, atau lahir di NS tetapi mastautin di luar NS, atau mastautin di NS lebih daripada 5 tahun walaupun lahir di tempat lain, atau mempunyai ibu atau bapa yang berasal dari NS.

Keutamaan diberikan kepada cerpen dan puisi yang telah diterbitkan di media cetak, manakala karya yang masih belum mendapat tempat turut dialu-alukan. Jumlah karya tidak dihadkan tetapi penyusun berhak menyaring dan memilih karya-karya yang sesuai dan berkualiti.

Penulis yang menghantar karya perlulah mengirimkan biodata lengkap, termasuk nama, alamat penuh, nombor telefon dan e-mel masing-masing. Penganjur berhak menolak mana-mana karya yang tidak mempunyai butiran lengkap. Sebarang pertanyaan sila e-mel atau hubungi talian 06-7675722 (Nisah Hj. Haron) atau 06-7923967 (Amiza Khusyri Yusof).

Karya-karya boleh dihantar melalui e-mel nisah.haron@gmail.com atau amizakhusyri@yahoo.com atau poskan di alamat : Urus Setia Antologi Penulis Muda Darul Khusus, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), No. 59, Lorong Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban, sebelum 28 Februari 2006.


Sumber: Utusan Malaysia, 16 Januari 2006.

Monday, January 09, 2006

NIKMAT YANG HILANG

+ Selama empat tahun saya tidak bisa mengecapi sambutan Aidiladha di Malaysia. Tetapi pada tahun 2006 ini saya kembali dapat mengecapinya di tanahair sendiri. Ini adalah nikmat yang harus saya syukuri. Pun begitu saya amat rindu situasi Aidiladha di Mesir. Amat meriah sekali. Rata-rata mesyarakat Arab menyambut meriah kedatangan Aidiladha berbanding Aidilfitri. Lalu saya faham, nikmat yang satu itu telah hilang. Pada erti kata lain tidak bisa mengecapinya seperti di sana.

+ Aidiladha telah merakam pengorbanan besar Nabi Ibrahim A.S, menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. Namun kepatuhan kedua-duanya telah dibalas Allah apabila menukarkan penyembelihan Nabi Ismail kepada seekor Kibas. Terlalu besar pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. Sanggup mengorbankan perasaan kasih seorang ayah terhadap anak demi mematuhi perintah Allah S.W.T. Korban nyawa adalah perintah yang amat berat. Namun tidak sekali-kali Nabi Ibrahin A.S membantah. Justeru pengorbanan yang terlalu besar itu wajar dicontohi demi menggalakkan umat Islam melakukan pengorbanan dalam apa jua bentuk sama ada harta, wang, tenaga dan sebagainya. Pengorbanan kita pada hari ini terlalu kecil berbanding pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. Tuntas, selagi diberi peluang dan ruang oleh Allah, gunakanlah dengan baik agar tiap pengorbanan yang dilakukan tidak menjadi sia-sia, kerana apabila sesuatu nikmat itu hilang, sukar untuk dikembalikan semula. Semoga Aidiladha kali ini membawa sejuta rahmat dan seribu erti dalam hidup insan-insan yang beriman dan bertaqwa.

Salam Aidiladha daripada Diari Online.