Pages

Monday, January 30, 2006

NIAT HIJRAH YEN

Semalam Yen dipukul lagi, dengan kayu besar. Badan Yen berdarah, melecet dan lebam. Yen menangis teresak-esak. Yen tidak melawan. Yen menjerit kesakitan. Dia tolak Yen dengan kuat hingga Yen terperosok ke hujung kamar. Kepala Yen terhantuk di dinding. Yen raba-raba kepalanya yang sakit sambil mengesat airmata yang tumpah di pipi. Yen tidak tahan diperlaku begitu setiap hari. Yen takut untuk bersuara. Yen takut pukulan yang lebih kuat singgah di tubuh. Sebab itu Yen mendiamkan diri. Yen mengerang kesakitan. Yen hanya mampu menyebut nama arwah ayah dan ibunya.

Yen memegang perutnya yang sudah berkeriut. Yen sangat lapar. Sehari hanya sekali Yen dapat menjamah nasi. Hanya nasi kosong. Minuman pula hanya air paip. Tapi Yen tidak kisah. Asalkan dapat makan dan minum, Yen sangat gembira. Tubuh Yen sudah kurus kering hingga nampak tulang temulang. Kepala Yen pula botak kerana rambut Yen gugur dengan banyak setiap hari. Wajah Yen pucat lesi dan cengkung. Gigi Yen sudah banyak yang rongak. Mata Yen pula semakin sepet kerana terlalu lama tidak memandang cahaya. Yen tinggal dalam sebuah bilik kecil yang gelap dan gelita. Dia kurung Yen dalam bilik sempit itu.

Yen bukan orang gila. Yen tidak meracau-racau apabila bercakap. Yen hanyalah seorang insan, yang kurang sempurna akal. Masa kecil-kecil dahulu Yen pernah bersekolah. Yen sekolah hingga lulus SRP. Hanya itu tahap persekolahan Yen. Yen juga pernah bekerja. Mengambil upah potong rumput, cuci longkang, jadi tukang sapu dan bermacam lagi kerja Yen lakukan. Yen memang lurus bendul. Yen selalu ditipu oleh kawan-kawan. Apabila Yen dapat gaji, sebahagiannya Yen beri pada kawan-kawan. Jika Yen tidak beri, mereka akan belasah Yen. Baki yang tinggal pula Yen beri kepada Dia. Jika Yen tidak beri, Dia akan pukul Yen. Yen tidak kisah dengan duit. Yen tidak tahu mahu buat apa dengan duit. Setahu Yen, duit digunakan untuk membeli makanan dan minuman sahaja.

Suatu hari, selepas terima gaji daripada majikan, duit Yen habis dicuri. Yen sangat takut. Yen takut Dia akan pukul Yen. Sangkaan Yen memang betul. Apabila Dia minta duit daripada Yen, Yen kata duit itu sudah dicuri. Tapi Dia tidak percaya. Yen pukul Yen hingga pengsan. Sejak hari itu Yen tidak dibenarkan keluar rumah. Yen tidak dibenarkan berkerja. Yen dikurung dalam bilik kecil itu, seperti mengurung kucing di dalam sangkar. Yen mahu lari dari rumah itu. Yen mahu lari. Yen mahu hidup seperti insan lain. Yen mahu berhijrah. Hijrah daripada kesakitan, kesengsaraan dan penderitaan kepada kedamaian, ketenangan dan kebebasan. Itu niat Yen setiap hari. Tapi entah bila akan tercapai. Yen sabar menunggu. Pasti Allah akan beri suatu hari nanti kerana Yen tahu, manusia yang sabar adalah manusia yang beriman dan dikasihi Allah.

Diari Online mengucapkan Salam Maal Hijrah 1427 kepada semua pengunjung setia DO.

No comments: