Pages

Tuesday, May 30, 2006

MARTABATKAN TULISAN JAWI

MARTABATKAN TULISAN JAWI

Semalan saya menghadiri Kursus Pemantapan Tulisan Jawi di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban. Saya kira panduan sistem ejaan jawi yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Kementerian Pelajaran Malaysia (JAPIM) amat menarik. Tidak semua golongan terdedah dengan sistem ejaan jawi yang betul. Golongan yang sering mendapat pendedahan tentang sistem ini kebanyakan daripada mereka adalah golongan pendidik. Saya sebelum ini tidak terdedah dan tidak didedahkan dengan sistem ini. Saya hanya mengikuti perkembangan sistem ejaan jawi lewat akhbar Klik DBP, Berita Harian. Saya tidak berasa jemu mengikuti kursus yang berjalan sekitar sembilan jam tersebut. Terlalu banyak manfaat yang saya perolehi. Syukur kerana sekarang ini sudah ada usaha yang dijalankan untuk memartabatkan tulisan jawi.

Tulisan jawi adalah warisan budaya dan bangsa Melayu. Amat wajar masyarakat Melayu hari ini sentiasa mengetahui dan mengikuti perkembangan tulisan yang mengandungi nilai seni yang amat tinggi ini. Saya kira ruang entri yang agak terhad ini membataskan saya untuk membuat catatan panjang tentang kaedah-kaedah yang digunakan untuk pembentukan ejaan dalam tulisan jawi. Namun begitu, akan saya catatkan beberapa kaedah sebagai panduan bersama kerana ini adalah ilmu yang wajar dikongsi dan diwarisi bersama demi memastikan khazanah bangsa Melayu terpelihara. Selamat Membaca!

1. Hukum huruf 'Kaf' dan 'Ga'
= bunyi 'ka' dan 'ga' di akhir suku kata tidak ada huruf 'Alif'
: contoh: perkataan 'luka' dieja dalam jawi; lam- wau- kaf.
+ tidak perlu ditambah huruf 'Alif' selepas 'Kaf' begitu juga dengan perkataan yang diakhiri huruf 'Ga'.
+ tetapi, sekiranya menerima imbuhan akhiran hendaklah ditambah huruf 'Alif'
: contoh: perkataan 'lukanya' dieja dalam jawi; lam-wau-kaf-alif-nya.

2. Perkataan Tradisi (Perkataan yang dikekalkan ejaannya mengikut ejaan lama)
: contoh; Perkataan 'apa' dieja dalam jawi; alif- pa.
; Perkataan 'lima' dieja dalam jawi; lam- ya- mim
; Perkataan 'itu' dieja dalam jawi; alif- ya- ta.

+ di atas hanyalah tiga contoh yang dapat dipaparkan kerana Perkataan Tradisi mengandungi 22 perkataan.

3. Kaedah Diftung (Memasukkan 'ai', 'au', 'oi' untuk membezakan maksud perkataan)
: contoh; Perkataan 'Topi' dieja dalam jawi; ta- wau- pa- ya.
; Perkataan 'Tupai dieja dalam jawi; ta- wau- pa- alif- ya.

4. Perbezaan Maksud Homograf (Ejaan yang hampir sama)
* Memasukkan huruf 'Alif' untuk membezakan dua perkataan
: contoh; Perkataan 'Pentas' dieja dalam jawi; pa- nun- ta- sin.
; Perkataan 'Pantas' dieja dalam jawi; pa- alif- nun- ta- sin.

* Homograf Hakiki (Perkataan yang sama ejaan tetapi berlainan bunyi)
: contoh; Perkataan 'Biru' dieja dalam jawi; ba- ya- ra- wau.
; Perkataan 'Biro' dieja dalam jawi; ba- ya- ra- wau.
+ dua perkataan di atas dieja menggunakan huruf yang sama tetapi boleh dibezakan bunyinya melalui kedudukan dalam ayat.

6. Kata Pinjam Bahasa Arab
* Perkataan pinjaman Bahasa Arab yang dikekalkan ejaannya adalah perkataan yang terdapat dalam al-Quran.
: contoh; Perkataan 'Zakat' dieja dalam jawi; zai- kaf- alif- ta marabbutah.
; Perkataan 'Ihsan' dieja dalam jawi; alif- ha- sin- alif- nun.

7. Kata Pinjaman Bahasa Inggeris Dan Bahasa-Bahasa Eropah Yang lain
* Perkataan yang terdiri daripada dua atau lebih suku kata hendaklah dieja berdasarkan ejaan tulisan ruminya.
: contoh; Perkataan 'Batalion' dieja dalam jawi; ba- alif- ta- alif- lam- ya- wau- nun.
; Perkataan 'Kapitalis' dieja dalam jawi; kaf- alif- pa- ya- ta- alif- lam- ya- sin.

* Puisi saya "Terkubur Azam Di Sawah Ladang" tersiar dalam Berita Minggu Ahad lalu. Sumber:
Berita Minggu, 28 Mei 2006.

Tuesday, May 23, 2006

CERAMAH PENULISAN PEN DI KUALA KLAWANG

CERAMAH PENULISAN PEN DI KUALA KLAWANG


Baru hari ini saya sempat mengintai blog. Dikesempatan waktu yang sedikit ini saya turunkan catatan di sini. Sabtu lalu saya agak ripuh mengendalikan Majlis Ceramah Penulisan Kreatif di Hotel Sri Klawang. Sebagai selaku Pengarah program juga bertindak sebagai MC pastinya perlu berusaha mengendalikan program dengan baik. Alhamdulillah program berjalan lancar. Program yang dihadiri seramai 30 orang peserta itu memperlihatkan bakat-bakat baru dalam dunia penulisan yang harus diberi perhatian. Puan Nisah Haji Haron dengan ceramah yang bertajuk "Aspek Teknikal Dalam Penulisan Cerpen" berpuas hati dengan sambutan dan respon yang diberikan oleh peserta. Begitu juga dengan Puan Kalsom Azid dengan ceramahnya yang bertajuk "Gaya Bahasa Dalam Penulisan Kreatif" juga rancak berkongsi pengalaman dan memberi panduan serta teknik penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan kreatif. Puan Kalsom yang aktif dalam aktiviti sastera dan bahasa di Negeri Sembilan merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatan Kuasa PEN 2006. Itulah kali pertama saya melibatkan diri sebagai penyelaras program yang dianjurkan oleh PEN. Keseluruhan program yang dihadiri oleh para pelajar dan guru-guru dari SMK Dato Undang Musa Al-Haj, SMK Simpang Gelami, SMA Dato Haji Tan Ahmad dan MRSM Kuala Klawang itu, dilihat dapat mengenalkan mereka tentang dunia penulisan kreatif yang sebenar. Usai program saya sempat juga belek-belek buku yang dipamerkan oleh Puan Nisah dan suaminya. Buku yang menjadi pilihan saya adalah antologi cerpen SM. Zakir yang berjudul "Sekeping Roh Di Atas Bantal". Sekarang saya dalam proses mengkhatami antologi cerpen tersebut.

Kepada tunas-tunas baru penulisan kreatif yang sedang rancak memburu istilah-istilah terkini, jangan lupa simpan istilah baru yang kalian dengar tempoh hari. Masih ingat lagi? Bukankah Puan Nisah sudah maklumkan pada kalian tempoh hari? Tak Mengapalah, biar saya salinkan untuk kalian.

* Jerayawara (Road Show)
* Bicarawara (Talk Show)
* Pramusaji (Waitress)
* Candawara (Gameshow)


Tuesday, May 09, 2006

INILAH PEMBERIAN DAN KETENTUAN ALLAH

INILAH PEMBERIAN DAN KETENTUAN ALLAH


RUMPUN KITA

Kita rumpun yang sama
meski berbeza bangsa
dari Adam bapa kita
dan bonda bergelar Hawa.

Kita pernah menanam benih
pada tanah yang berbudi
kita petik hasilnya
kerana bumi sudi memberi.

Kita pelbagai bangsa
berjenis rupa warna agama
berbumbung langit yang biru
berpijak bumi yang maju.

Namun kini, seakan sudah terlupa
kita pernah dura derita pernah dijajah
kerana kemewahan membalut kalbu
kita enggan mengaku
Tuhan adalah satu
hingga di bawah tabir langit itu
kita digulung dalam lemas
tanpa sedar,
penghujung dunia menjemput
pulang ke tanah asal
rumpun kita.

Syarifah Salha Syed Ahmad
11 Febuari 2006
Jelebu, N.Sembilan.

Sumber:
Berita Minggu, 7 Mei 2006.

:: Salam takziah buat Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin (Ketua Satu PEN) atas kepulangan suami, Encik Haji Salim Haji Taib (Mantan Ketua Satu PEN) keRahmatullah.