Pages

Friday, January 26, 2007

Yang Manis Tidak Selalu Indah, Yang Pahit Tidak Selalu Kelat

Yang Manis Tidak Selalu Indah, Yang Pahit Tidak Selalu Kelat

Banyak yang manis dan pahit sepanjang berada di IPRM. Saya suka mengenang yang pahit, kerana yang pahit sering buat saya sentiasa berjaga-jaga, insaf dan mengingatkan saya supaya tidak kufur dengan nikmat Tuhan. Tentunya yang pahit itu menuntut kesabaran. Peringkat pertama sudah tamat. Selebihnya saya akan memulakan kuliah pada cuti bulan lima akan datang.

Fitrah manusia suka yang manis-manis dan yang indah-indah. Saya tidak menafikan semua itu. Namun, adakala yang manis-manis dan yang indah-indah itu sering memudaratkan. Yang pahit pula tidak semestinya kelat kerana yang pahit itu adalah ubat dan penawar.

Barangkali ramai yang tidak tahu mengapa seseorang itu memilih sesuatu perkara yang dirasakan buruk olehnya tetapi baik bagi orang yang memilih. Sebelum ini ramai yang kurang senang bila Dato' Siti Nurhaliza berkahwin dengan Dato' Khalid Mohd Jiwa. Namun, sekarang ramai yang sudah akur.

Barangkali ramai juga yang tidak tahu apa tujuan saya menulis di blog ini. Iya, saya tidak pernah menyatakan dalam entri-entri sebelum ini mengapa saya menulis sama ada di blog atau di mana-mana sahaja. Bermula aksara 2006 hingga menjelang aksara 2007 jarang sekali saya memaparkan penulisan-penulisan berbentuk sastera. Saya juga jarang menyiarkan karya-karya saya di sini. Mungkin kerana itu ramai yang tidak tahu apa sebenarnya ingin saya tulis di blog ini.

Apa yang saya tulis ini sudah sampai kepada kemuncak maksud. Barangkali ramai yang masih tidak tahu atau tidak faham. Seringkali sasterawan dikaitkan dengan bahasa yang sukar dimengertikan. Percakapan seseorang sasterawan juga tidak secara langsung. Sasterawan gemar beranalogi, berfalsafah dan gemar memikirkan sesuatu yang lain dan berbeza daripada orang lain. Perkara ini satu kebenaran yang tidak perlu disangkal.

Seperti Nisah Hj. Haron, Faisal Tehrani, Mawar Syafei, SM. Zakir, Shamsudin Othman, Nazmi Yaakob dan Zaid Akhtar, ramai yang tidak tahu tujuan mereka menulis di blog atau di mana sahaja. Tidak kurang juga ramai yang tidak tahu atau barangkali tidak kenal dengan Ghafirah Idris, Ida Munira, Siti Hajar Mohd Zaki, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, Salman Sulaiman, WB Rendra, Lutfi Ishak, Amiza Khusri, Fahd Razy, Nimoiz TY dan ramai lagi. Barangkali lebih ramai yang kenal dengan Pak Samad (S.N A.Samad Said). Itupun hanya kenal nama tidak pada rupa atau kenal rupa tetapi tidak tahu nama.

Mereka yang saya sebutkan di atas adalah rakan, sahabat, guru, pembimbing bagi diri saya. Meskipun kami berbeza usia, kerjaya, matlamat, tujuan dan pendapat, namun begitu kami pernah duduk semeja, makan bersama dan pernah melakukan aktiviti yang sama dalam kumpulan dan kelompok yang sama. Namun persamaan kami yang paling ketara meskipun berbeza jantina adalah kerana kami seorang penulis.

Cukuplah dengangan lagu yang saya sediakan untuk halwa telinga pengunjung. Saya tidak menyediakan perkhidmatan memilih irama dan lagu. Saya juga tidak menyediakan koleksi nasyid pilihan atau lagu-lagu artis pilihan kerana saya bukan kumpulan nasyid Hijaz, UNIC atau Raihan. Saya juga bukan M.Nasir, Mawi atau Jaclyn Victor. Ambillah apa yang memberi manfaat. Jika tidak ada yang bermanfaat, saya memohon maaf, di atas kesempatan waktu yang sedikit dan jarang terluang untuk menyediakan sesuatu yang sangat bermanfaat untuk diri kalian. Jika punyai masa yang terluang dengan kapasiti tenaga yang banyak, akan saya cuba menghiburkan kalian supaya tidak bosan.

Selamat membaca dan semoga terhibur! :)

Wednesday, January 10, 2007

Diserang

Diserang

Saya orang ke empat yang diserang. Sebelum itu bapa saya menjadi mangsa pertama. Sedaya upaya bapa saya melawan serangan hingga tiga hari bapa saya terlantar di kamarnya. Mangsa kedua pula adik lelaki saya yang berusia 22 tahun. Namun dia berjaya melawan serangan dan tidak rebah. Ketiga adalah adik lelaki saya yang berusia 15 tahun. Dia agak teruk diserang, sehingga suaranya berubah menjadi sangat garau dan kasar. Namun dia juga mampu bertahan meskipun hampir rebah. Sekarang saya pula diserang. Sudah tiga hari saya diserang. Puas saya melawan serangan. Akhirnya saya akur dan terpaksa juga ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Mereka kata saya tidak kuat kerana setiap kali diserang demam pasti akan ke klinik juga.

Setelah mendapat suntikan barulah saya mampu bertahan. Kepala tidak sakit teruk seperti sebelum ini. Tubuh juga sudah mampu bersolat dalam keadaan berdiri. Meskipun mereka kata saya tidak kuat, namun saya bersyukur kerana masih mampu mendirikan solat lima waktu. Saya tidak membiarkan diri terlantar di atas katil sepanjang masa. Sempat juga saya menjahit pakaian, hadiah hari perkahwinan tempoh hari. Tiga helai daripadanya sudah hampir siap. Cuma kain belum di pasang zip dan getah untuk bahagian pinggang.

Hari ini, saya mampu menaip dan mengemas kini blog. Syukur, alhamdulillah. Syukur juga kepada Allah kerana demam kali ini saya tidak diserang Asma yang teruk. Hanya subuh tadi saya diserang Asma. Tetapi tidak teruk seperti kebiasaan. Saya sangat khuatir Asma menyerang kerana apakala batuk dan selsema pasti saya akan mengalaminya. Namun kali ini tidak seperti selalu.

+ Saya berjangkit demam daripada Pak Latip. Selepas menziarahinya Ahad lalu, saya pula yang kena. Hehe...sekadar bergurau. Kalau Pak Latip baca entri ini, jangan marah!