Pages

Friday, March 06, 2009

Luahan

Hari ini fikiran saya berserabut. Terlalu banyak tugasan di sekolah yang perlu dibereskan. Awal-awal pagi bergegas ke pejabat sekolah menguruskan beberapa perkara. Hari ini murid-murid tahun dua menduduki ujian bulanan untuk mata pelajaran Bahasa Arab. Sepatutnya ujian itu dilaksanakan pada minggu terakhir bulan Februari, namun atas sebab-sebab tertentu ujian terpaksa ditunda pada minggu ini. Murid-murid saya sudah bersedia dan bersemangat mahu duduki ujian. Maklum saja, jika dikalangan mereka berjaya mencapai markah seratus peratus akan ada habuan saya sediakan. Begitu psikologi yang perlu digunakan kepada murid-murid sebagai tanda dorongan dan sokongan. Tidak kisah perlu berhabis wang asalkan murid-murid seronok. Hari ini tiba-tiba sahaja mesyuarat tergempar diadakan. Mesyuarat tersebut diadakan tepat pada giliran saya mengajar. Aduh! Terpaksa akur. Saya tinggalkan kertas ujian atas meja guru dalam kelas tahun dua dan minta pengawas edarkan kepada murid-murid tahun dua disamping mengawasinya. Bagaimana kekalutan menimpa sekalipun alhamdulillah, tugas-tugas dapat dibereskan menjelang jam 12 tengah hari. Pun begitu, masih ada tugasan menanti. Minggu hadapan adalah hari paling sibuk berbanding hari-hari lain. Pada Khamis, 12 Mac Mesyuarat Agung PIBG SKAP kali ke-31 akan diadakan. Saya ditugaskan supaya menyediakan buku program. Hampir tiga tahun berada di SKAP, saya sering ditugaskan dalam bidang ini. Jika tidak, tugas saya sebagai pengerusi majlis. Hari ini pun ada guru yang minta saya gantikan tempatnya menjadi pengerusi majlis untuk mesyuarat agung yang bakal tiba. Tapi saya menolak dengan senyuman. Apa boleh buat, tugasan telah dibahagikan sama adil. Saya perlu menyempurnakan tugasan saya dan guru-guru lain juga perlu berbuat demikian. Barulah adil bukan?

No comments: