Pages

Tuesday, March 31, 2009

Ijazah Yang Tiada Nilai

Saya kurang gemar bercerita atau meluahkan perasaan tidak puas hati di blog ini. Namun perkara yang ini saya fikir perlu dikongsi bersama. Bukan niat mahu mendedahkan keburukan sesetengah pihak. Namun, saya dapati perkara ini semakin menular dikalangan mereka yang menganggap program ijazah yang dipohon adalah peluang untuk naik pangkat semata-mata. Apa guna berebut-rebut memohon program ijazah jika sijil yang diperolehi kelak tiada nilainya. Dahulu, memohon untuk masuk universiti atau memohon mengikuti program ijazah secara jarak jauh agak sukar. Pendek kata, jika ditawarkan mengikuti program ijazah merupakan suatu rahmat dan kegembiraan yang tidak terucap. Namun kini, memohon untuk mengikuti program ijazah bukan lagi suatu perkara yang sukar. Terutama kepada gelongan bekerja (hanya satu golongan yang sangat ketara), tidak perlu saya sebutkan. Golongan yang satu ini berlumba-lumba memohon mengikuti program ijazah secara separuh masa. Universiti yang menaja program ijazah ini pula sememangnya ditubuhkan dengan tujuan mahu membantu golongan bekerja yang mahu melanjutkan pelajaran supaya tahap pendidikan golongan ini dapat dinaik taraf sejajar dengan keperluan semasa yang dikehendaki oleh sektornya. Tidak salah bercita-cita untuk menggenggam segulung ijazah. Sememangnya cita-cita itu sangat mulia. Namun jangan pula menganggap ijazah yang bakal diperolehi itu suatu perkara yang mudah, umpama membeli ikan di pasar.


Saya masih ingat betapa sukarnya melalui detik-detik hidup sebagai penuntut universiti suatu masa dahulu. Kesukaran itu masih saya rasai hingga kini. Betapa saya bersusah payah ke hulu ke hilir mencari bahan-bahan untuk menyudahkan assignment. Kemudian bersengkang mata pula untuk menyudahkanya. Untuk pengetahuan, jurusan Syariah Islamiah di Universiti al-Azhar Mesir merupakan satu jurusan yang sangat wajib menghasilkan assignment dengan jumlah yang banyak. Maklum saja, subjek-subjek yang dipelajari menjurus kepada hukum-hakam, perbandingan mazhab dan undang-undang Islam. Justeru assignment yang dihasilkan adalah sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu yang dipelajari di dewan kuliah. Susah payah menghasilkan assignment yang seratus peratus menggunakan Bahasa Arab itu menjadi kenangan manis bahkan menyedarkan saya bahawa perjalanan untuk menggenggam segulung ijazah bukan suatu perkara yang mudah.


Berbeza dengan golongan yang satu ini, secara zahir memperlihatkan betapa ijazah adalah suatu istilah yang dipandang enteng. Keluar masuk dewan peperiksaan semacam suatu perkara yang amat biasa. Meniru dalam dewan peperiksaan pula menjadi topik perbualan yang tidak segan silu dicanang-canangkan kepada orang lain. Malah, ada yang berbangga dengan perbuatan meniru tersebut. Assignment yang dibekalkan oleh pensyarah pula menjadi kerja-kerja yang disiapkan disaat-saat akhir. Ada yang lebih dasyat dari itu kerana mengupah orang-orang tertentu supaya membuat assignment tersebut. Mengupah pada erti kata menyuruh membuat dan menyiapkan tanpa dibekalkan sebarang bahan, rangka kerja atau lakaran. Terpulanglah kepada si pembuat bagaimana cara mahu menulis dan menyudahkan kerja-kerja tersebut. Si empunya diri yang bakal menerima ijazah itu lepas tangan sahaja. Sampai masa, datang berjumpa orang yang diupah membuat kerja kemudian bayar dengan harga yang tidak setimpal pula dengan hasil usaha dan titik peluhnya. Lebih dasyat, ada si pembuat assignment yang membuat kerja tersebut secara sukarela dengan alasan bersimpati dengan bakal pemilik ijazah yang anaknya ramai, tugasan-tugasan tertentu banyak dan bertimbun-timbun dan sebagainya. Seterusnya assignment tersebut dihantar kepada pensyarah lalu pensyarah memuji dan memuja pula kepandaian dan kekemasan kerja yang kononnya hasil usaha bakal pemilik ijazah ini. Lebih membanggakan bakal pemilik ijazah apabila assignment tersebut mendapat gred A. Begitulah rutin golongan yang satu ini. Pendek kata, jika lima assignment yang dibekalkan oleh pensyarah, kelima-lima assignment itu jugalah yang akan diserahkan 'bulat-bulat' kepada pembuat assignment yang diupah atau tidak diupah. Tidak dinafikan masih ada yang rajin menghasilkan sendiri assignment. Namun jumlahnya boleh dibilang dengan jari.


Saya tidak gemar cara ini. Nilai ijazah yang sebenar adalah sangat tinggi. Ilmu yang terkandung dalam segulung ijazah bukan boleh dibeli di kedai-kedai atau di pasar-pasar. Saya tidak begitu marah jika golongan yang satu ini mahu mengupah seseorang untuk membuat atau menyudahkan assignment mereka, namun biarlah dibuat rangka atau lakaran atau ditulis terlebih dahulu segala macam isi dan perkara-perkara yang perlu dimuatkan dalam assignment tersebut. Pendek kata, hasil usaha itu kelihatan dan orang yang diupah itu hanya perlu menaip sahaja kerja-kerja yang perlu dibuat. Tidaklah dinamakan 'lembu punya susu sapi dapat nama'. Orang lain yang bertungkus-lumus menghasilkan dan mencurahkan ilmu di dada marsum, orang lain pula yang mendapat ijazah dengan penuh kebanggaan.


Jika golongan yang satu ini terbaca akan entri saya ini, janganlah marah. Tetapi bacalah dengan mata hati dan fikirkanlah kewajaran penulisan ini. Saya mohon maaf andai ada pihak yang terguris dan terasa hati dengan entri saya kali ini. Namun saya berharap agar ada sekelumit sedar dalam diri bahawa Ijazah Sarjana Muda yang bakal anda perolehi itu adalah tangga pertama yang bakal melayakkan anda untuk melangkah ke tangga-tangga yang seterusnya untuk menuju puncak kejayaan dan menara ilmu.




Saturday, March 14, 2009

Jangan Harapkan Orang

Saya tidak gemar mengharapkan orang lain untuk menyudahkan kerja-kerja atau tugasan yang menjadi tanggungjawab saya. Barangkali sikap yang begini buat saya tidak senang duduk. Hairan juga, bagaimana ada segelintir manusia boleh buat tidak endah dan acuh tidak acuh terhadapat tanggungjawab yang dipundakkan ke atas bahunya? Bertambah hairan apabila ada yang meninggalkan terus tanggungjawab bahkan meminta orang lain mengambil alih tanggungjawab tersebut atas alasan yang tidak konkrit. Pernah juga saya cuba bersikap acuh tidak acuh terhadap sesuatu tanggungjawab, namun ada penolakan dalam diri. Ternyata saya tidak mampu bersikap demikian. Adakala memang perlu buat tidak endah terhadap sesuatu tanggungjawab itupun jika berlaku pertembungan antara dua tanggungjawab. Maka, tanggungjawab yang sangat penting harus didahulukan. Namun tidak pula sampai meninggalkan terus tanggungjawab kedua yang kurang penting itu. Namapun tanggungjawab, perlulah bertanggungjawab ke atas tanggungjawab yang dipikul itu.


+ Cuti sekolah bermula hari ini. Namun sebagai guru, jasad dan fikiran tidak akan pernah bercuti. Esok hingga Selasa, saya akan bercuti ke Kuala Lumpur sambil menuntut ilmu. Warga kota pulang ke kampung tetapi saya berhijrah ke bandar. Tiada apa yang hendak dihairankan.




Monday, March 09, 2009

Salam Maulidur Rasul

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Tanda ingatan kasih rindu buat baginda Rasul terulung Murabbi teragung.



Masjid Amru al- Asr, Kaherah Mesir



Friday, March 06, 2009

Luahan

Hari ini fikiran saya berserabut. Terlalu banyak tugasan di sekolah yang perlu dibereskan. Awal-awal pagi bergegas ke pejabat sekolah menguruskan beberapa perkara. Hari ini murid-murid tahun dua menduduki ujian bulanan untuk mata pelajaran Bahasa Arab. Sepatutnya ujian itu dilaksanakan pada minggu terakhir bulan Februari, namun atas sebab-sebab tertentu ujian terpaksa ditunda pada minggu ini. Murid-murid saya sudah bersedia dan bersemangat mahu duduki ujian. Maklum saja, jika dikalangan mereka berjaya mencapai markah seratus peratus akan ada habuan saya sediakan. Begitu psikologi yang perlu digunakan kepada murid-murid sebagai tanda dorongan dan sokongan. Tidak kisah perlu berhabis wang asalkan murid-murid seronok. Hari ini tiba-tiba sahaja mesyuarat tergempar diadakan. Mesyuarat tersebut diadakan tepat pada giliran saya mengajar. Aduh! Terpaksa akur. Saya tinggalkan kertas ujian atas meja guru dalam kelas tahun dua dan minta pengawas edarkan kepada murid-murid tahun dua disamping mengawasinya. Bagaimana kekalutan menimpa sekalipun alhamdulillah, tugas-tugas dapat dibereskan menjelang jam 12 tengah hari. Pun begitu, masih ada tugasan menanti. Minggu hadapan adalah hari paling sibuk berbanding hari-hari lain. Pada Khamis, 12 Mac Mesyuarat Agung PIBG SKAP kali ke-31 akan diadakan. Saya ditugaskan supaya menyediakan buku program. Hampir tiga tahun berada di SKAP, saya sering ditugaskan dalam bidang ini. Jika tidak, tugas saya sebagai pengerusi majlis. Hari ini pun ada guru yang minta saya gantikan tempatnya menjadi pengerusi majlis untuk mesyuarat agung yang bakal tiba. Tapi saya menolak dengan senyuman. Apa boleh buat, tugasan telah dibahagikan sama adil. Saya perlu menyempurnakan tugasan saya dan guru-guru lain juga perlu berbuat demikian. Barulah adil bukan?