Pages

Sunday, June 23, 2013

Sistem Album- Mengurus kewangan dengan bijak sambil membeli emas

Bertemu kembali. Entri kali ini akan membawa para pembaca untuk mengetahui tentang sistem album. Tahu apa itu sistem album? Ya, sebut sahaja sistem album tentu tergambar dalam fikiran masing-masing tentang foto-foto yang tersimpan kemas dalam photo album. Foto-foto adalah sebahagian daripada harta yang tinggi nilainya dalam kehidupan manusia. Foto-foto akan tersimpan sebagai bukti yang merakamkan sesuatu peristiwa sama ada peristiwa indah mahupun peristiwa tidak baik (terutama dalam dunia penyiasatan dan guaman). Namun begitu, bukan ini yang mahu saya ceritakan. Ya, jadikan  photo album sebagai tempat untuk menyimpan dan mengurus kewangan dengan bijak. Caranya mudah sahaja. Tidak kira siapapun anda, sama ada kakitangan kerajaan atau yang bekerja sendiri, adalah baik mengamalkan sistem ini terutama kepada mereka yang 'tangan panas' (boros). Sebagai contoh, lihat cara di bawah:

Bahan-bahan:

1. Sediakan photo album bersaiz 3R.
2. Sticker labels.
3. Pen

Langkah Pertama:
1. Tulis tarikh  (bermula 1 hb hingga 25 hb(kakitangan kerajaan) 31 hb) di atas sticker labels.
2. Lekatkan sticker labels pada penjuru setiap helaian photo album.
3. Baki bersih pendapatan bulanan (setelah ditolak simpanan, kecemasan, takaful, zakat, pinjaman perumahan dan sebagainya) - simpan dalam photo album mengikut tarikh.


 + Katakan baki pendapatan bersih RM1250 sebulan, bermaksud pada setiap helaian/ muka surat album= RM50 (25 hari).

4. Ambil RM50 sahaja pada satu muka surat mengikut tarikh bekerja. Bermaksud RM50 untuk perbelanjaan satu hari. 
5. Jika ada lebihan wang daripada perbelanjaan sehari tersebut simpan dalam muka surat yang sama.
6. Hari berikutnya ulang langkah yang sama iaitu mengambil RM50 pada muka surat lain mengikut tarikh pada hari tersebut. Jika ada lebihan buat perkara yang sama iaitu simpan pada muka surat tempat RM50 diambil.

+  Jika tiada lebihan, biarkan sahaja muka surat tersebut kosong.

+ Apabila langkah ini diulang-ulang, anda akan mendapati pasti ada lebihan wang pada muka surat tertentu dalam setiap bulan. 

+ Apabila gaji baru masuk, keluarkan baki wang daripada album dan jumlahkan seterusnya gantikan dengan gaji baru didalamnya.  Lihat berapa baki anda perolehi dan bolehlah membeli emas atau simpan dalam bank untuk mencukupkan nilai pembelian emas yang anda kehendaki.

Releven sistem album:
1. Dapat mengawal perbelanjaan harian.
2. Dapat mengawal nafsu membeli.
3. Dapat mengawal aliran wang keluar.
4. Mengajar diri menjadi seorang penyimpan.
5. Mengajar diri menjadi pengurus kewangan yang bijak.
6. Sebagai jaminan ketika dalam kecemasan sekiranya wang simpanan tidak mencukupi.
7. Sebagai jaminan untuk keperluan tidak terjangka.

+ Boleh saja mengecilkan atau membesarkan nilai simpanan setiap muka surat bergantung kepada baki bersih pendapatan bulanan anda.

Cubalah. Anda akan lihat hasilnya.

Perhatian:  Photo album bukan sekadar untuk menyimpan gambar atau untuk hantaran perkahwinan dan menyimpan mas kahwin.

Telah saya katakan dalam entri yang lalu. Emas bukan untuk golongan kaya sahaja. Semua orang mampu membeli emas. Bergantung kepada cara anda mengurus kewangan.

+ Jika berminat membeli emas, hubungi saya di talian 0126687355.



Saturday, June 22, 2013

Emas untuk semua golongan?- Angkat tangan

Setuju atau tidak jika saya katakan emas bukan untuk golongan kaya sahaja. Orang yang tidak kaya pun mampu membeli emas. Sepanjang pemerhatian dan penglaman saya selama hampir empat tahun dalam dunia emas (mula membeli emas dengan jumlah yang sedikit dan tidak kongsisten), rata-rata menyatakan tidak ada duit hendak membeli emas. Pelik juga, walaupun tidak ada duit hendak membeli emas, mampu pula bercuti dan melancong ke sana sini. Mampu pula makan di KFC sebulan hingga tujuh lapan kali. Mampu pula makan di kedai setiap hari dengan alasan malas memasak atau tak pandai memasak atau tak larat hendak memasak. Mampu juga membeli pakaian berhelai helai, kasut dan beg tangan berjenama. Tidak dilupakan juga kemampuan membeli kereta berjenama yang terbaru dan terkini. Juga mampu membeli pelbagai jenis gajet terbaru dan terkini. Saya pernah jumpa orang yang berkata tidak mampu membeli emas tetapi dalam masa yang sama dia mampu beli iPhone, iPad dan Tablet. Jenama di belakang produk adalah bank Rakyat (ada sesiapa yang tidak faham ayat dua lapis ini?) Ya, sanggup membuat pinjaman peribadi semata-mata tidak mahu ketinggalan memiliki gajet-gajet terkini. Maaf ya jika ada yang tersinggung. Ya, itu hak anda. Tiada siapa boleh menghalang. Paling sedap telinga mendengar ada yang berkata: nanti bila saya dah banyak duit saya akan beli emas. Jika anda termasuk dalam golongan yang disebut di atas, saya pasti anda tidak akan membeli emas sampai bila-bila. Saya sangat tidak setuju dengan ungkapan 'biar papa asalkan bergaya'. Bagi saya, jika hendak membeli sesuatu 'ukur baju di badan sendiri'.

Apa yang saya katakan ini tidak berniat mahu mempersenda atau memperlekeh. Saya sekadar mahu mendidik supaya kita sama-sama membeli emas. Terlalu banyak kebaikan memiliki emas walaupun berisiko. Namun risiko itu dapat diatasi jika anda bijak memilih tempat penyimpanan. Terus terang saya katakan, anda yang disebut di atas bukanlah golongan tidak mampu membeli emas, tetapi anda lebih suka membazir dan berseronok. Perhatikan berapa banyak nilai wang yang mengalir keluar. Pendek kata bagi mereka yang tiada pendapatan sampingan, anda hanya mencipta kemiskinan untuk diri sendiri dan keluarga. Fahami hadis di bawah:

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan para ahli waris engkau dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan menadah tangan (meminta-minta) kepada manusia."(216)
(216) Sahih: Sebahagian hadis yang panjang dari Sa‘ad bin Abi Waqqas radiallahu ‘anhu, lihat Sahih Muslim – no: 1628. (Kitab Wasiat, Bab Wasiat adalah satu pertiga…..)
Kita sedia maklum bahawa membazir itu adalah amalan syaitan dan perbuatan berlebih-lebihan, tamak dan kedekut adalah tidak termasuk dalam ajaran Islam.
Firman Allah dalam Surah al-Israa ayat 27
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
    Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
        Alangkah baik jika wang yang ada dibelanjakan dengan membeli sesuatu yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi untuk orang lain juga. Cara yang paling afdhal atau baik adalah dengan bersedekah dan berzakat. Emas adalah salah satu daripada harta yang wajib dizakatkan jika cukup nisabnya. Kewajipan berzakat dibuktikan dalam firman Allah yang bermaksud:
       "Dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat hartamu." (an-Nisaa:77)
     "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka (menjadi) sedekah (supaya) dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)." (at-Taubah:103)
Ramai yang bekerja keras untuk kesenangan dan kekayaan tetapi tidak ramai yang bekerja keras mencari harta untuk dizakatkan.
Ramai yang bekerja keras untuk keselesaan hidup sendiri tetapi tidak ramai yang bekerja keras untuk keselesaan hidup orang lain. 
Ramai yang bekerja keras untuk kesenangan diri sendiri tetapi tidak ramai yang bekerja keras untuk menyenangkan orang.
Percayalah, sesuatu hukum yang ditentukan Allah adalah jalan kesenangan dan kemudahan untuk hambanya. Rezeki yang diperolehi bukan untuk dinikmati seorang diri tetapi untuk dikongsikan dengan orang lain juga.
Saya tahu, ramai yang ingin membeli emas. Jika anda tahu tips, pasti anda tidak sabar untuk membeli emas. Jumpa pada entri akan datang. Akan saya kongsikan tips mengurus dan menyimpan wang sebelum membeli emas.
Ingat! Berzakatlah untuk lebih keberkatan.


+ Jika berminat membeli emas, hubungi saya di talian 0126687355.

      




Thursday, June 13, 2013

Mendidik dan Mengasuh

Hari ini bermula jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari, saya ditugaskan mengajar di kelas prasekolah kerana menggantikan guru pra yang tidak hadir atas sebab masalah kesihatan. Sekali-sekala dikerumuni anak-anak kecil prasekolah terasa seperti saya seorang ibu beranak 19 orang. Ya, jumlah kehadiran mereka hari ini 19 orang sahaja berbanding 22 orang. Mereka datang dengan pelbagai latar belakang keluarga. Ruang dan kesempatan ini saya manfaatkan untuk lebih mendalami jiwa mereka. Memandang wajah mereka, betapa jiwa tersentuh dan benarlah tiada dosa buat si kecil. Berkesempatan mengajar topik baru matapelajaran Bahasa Inggeris: Animals. Mereka gembira dan bernyanyi girang bersama saya. Betapa saya gembira dengan kerja yang saya lakukan hari ini.




Wednesday, June 12, 2013

Parameter Pelaburan Emas

·         Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:

Syarat Umum Jual Beli



1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.

Pihak Yang Berakad



2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:



i. Baligh, berakal dan rasyid



Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.



ii. Keredhaan



Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.

Harga Belian (al-Thaman)



3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

Barang Belian (al-Muthman)



4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.

5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.

6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:



i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.



ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.



iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

Sighah



7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.



Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi



10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:



i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.



ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:

Syarat Pertama: Taqabudh



11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:



a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:



a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.


Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Syarat Kedua: Secara Lani 



15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.

16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.

Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.

Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.



ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.



iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.



iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.

Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

Akad Dan Unsur Sampingan

18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibahtersebut.

19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.

21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannyamuwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.



Sumber: e-Fatwa (Portal Rasmi Fatwa Malaysia)


+ Jika berminat membeli emas, hubungi saya di talian 0126687355.