Pages

Tuesday, April 28, 2009

CDRK Berwajah Baru

Antologi Cerpen dan Sajak ini adalah hasil karya komuniti ADABUNA. Cetakan pertama pada April 2007 oleh Penerbitan Mohd Zaki. Antologi ini dipasarkan dan diedarkan secara persendirian oleh rakan-rakan Timur Tengah. Kini, cetakan kedua diterbitkan oleh HIJJAZ RECORDS PUBLISHING. Terima kasih kepada Sdr Mohd Zaki kerana bersusah payah mengusahakan penerbitan ini bermula cetakan pertama hingga cetakan kedua yang banyak mengalami kesusahan secara bersendirian. Terima kasih juga kepada pihak penerbit HIJJAZ RECORDS PUBLISHING yang sudi menerbitkan CDRK dengan wajah yang lebih segar dan menarik. Tidak dilupakan ucapan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan dan kenalan yang banyak membantu dalam proses pembikinan dan pemasaran CDRK. Semoga Allah membalas segala jasa baik kalian dengan limpahan rezeki yang barakah.




Himpunan 15 Penulis


Pelajar Malaysia dari Timur Tengah



"Karya mereka rata-ratanya intim dengan isu semasa dan antarabangsa, berlatarkan dalam dan luar negara, ketara terpelihara moralnya, sarat dengan dakwah menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan pastinya berdenyut selari dengan nafas Islami. Antologi cerpen dan puisi ini adalah bukti kebangkitan para penulis berpendidikan Timur Tengah."

- Zaid Akhtar –



"...karya penulis berpendidikan Timur Tengah lebih rencam, murni, kaya dengan unsur tauhid dan dakwah. Kehadiran mereka amat dialu-alukan agar dapat memperkasa sastera Islam."

- Norizan Muslim, Editor Tunas Cipta –



"Saya tidak menjanjikan anda akan santai menelaah 16 cerpen dan 10 puisi ini atau tidak juga mudah mengimbas hasil tukangan 15 penulis seperti yang sering anda ulangi apabila membelek helaian novel popular atau selayang pandang membaca puisi cinta di majalah hiburan."

- Mohd Nazmi Yaakub, Pengantar –



“Kebangkitan penulis-penulis ini perlu didakap, diberi perhatian dan diterima dengan lapang dada oleh semua pihak.”

- Amiza Khusyri Yusof, Penyusun I –



"Kita berharap gelombang kebangkitan penulis Timur Tengah akan semakin gagah, sekaligus mempamerkan kesannya. Dengan sedikit kerendahan hati, barangkali, antologi ini, Antologi Cinta dan Rona Kinanah, adalah antara langkah-langkah pertama menuju ke arah itu."

- Mohd Zaki M.Noor, Penyusun II -



PERINCIAN BUKU:
Penerbit / Editor urusan : Mohd Faizal Osman Penulis: 15 Penulis Pelajar Malaysia dari Timur Tengah Penyusun 1 : Amiza Khuryri Yusof Penyusun 2 : Mohd Zaki M.Noor Editor / Pruf : Zuryati Isa Rekaletak / Aturhuruf Dalaman : Siti Amin Konsep Kulit Buku : Bert/AbaiOs Rekabentuk : Fadly Halim Muka Surat : 200 Terbitan : Hijjaz Records Publishing Edaran : Marketing Dept. HRSB Tarikh diPasarkan : Januari 2009 Harga Semenanjung : RM19.90 Harga Sabah/Sarawak : RM21.90 Harga Singapore/Brunei : $12.00



+ Keterangan lanjut sila ke LAMAN PENERBIT HRP



INILAH WAJAH CDRK CETAKAN PERTAMA, APRIL 2007



Kulit depan


Kulit belakang


Tajuk Antologi : Cinta dan Rona Kinanah
Penyusun I : Amiza Khusyri Yusof
Penyusun II : Mohd Zaki M.Noor
Designer Kulit :Alexandaricairo
Penerbit : Penerbitan Mohd Zaki
Muka Taip Teks : Bookman Old Style
Saiz Taip Teks : 9 point
Cetakan : Pertama April 2007
Saiz : 12 x 16 cm
Muka surat : 192 muka surat.


Disemak dengan Kamus Dewan Edisi 4.


Usahasama bersama Komuniti Adabuna.


+ Antologi CDRK ini memuatkan dua buah cerpen saya yang memenangi Hadiah Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 Kategori Karya Eceran.


Friday, April 17, 2009

Solat

Sabda Rasulullah s.a.w, "Perkara pertama yang akan dihisab daripad amalan seseorang hamba Allah s.w.t pada hari kiamat ialah solat. Jika sempurna solatnya maka seluruh amalannya akan sempurna dan jika rosak solatnya, maka rosaklah seluruh amalannya."

(Hadith riwayat Imam Tabrani)

Sabda Rasulluwah s.a.w, "Sesungguhnya solat berjemaah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian."

(Hadith riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)

+ Buat renungan di pagi Jumaat, penghulu segala hari.

Tuesday, March 31, 2009

Ijazah Yang Tiada Nilai

Saya kurang gemar bercerita atau meluahkan perasaan tidak puas hati di blog ini. Namun perkara yang ini saya fikir perlu dikongsi bersama. Bukan niat mahu mendedahkan keburukan sesetengah pihak. Namun, saya dapati perkara ini semakin menular dikalangan mereka yang menganggap program ijazah yang dipohon adalah peluang untuk naik pangkat semata-mata. Apa guna berebut-rebut memohon program ijazah jika sijil yang diperolehi kelak tiada nilainya. Dahulu, memohon untuk masuk universiti atau memohon mengikuti program ijazah secara jarak jauh agak sukar. Pendek kata, jika ditawarkan mengikuti program ijazah merupakan suatu rahmat dan kegembiraan yang tidak terucap. Namun kini, memohon untuk mengikuti program ijazah bukan lagi suatu perkara yang sukar. Terutama kepada gelongan bekerja (hanya satu golongan yang sangat ketara), tidak perlu saya sebutkan. Golongan yang satu ini berlumba-lumba memohon mengikuti program ijazah secara separuh masa. Universiti yang menaja program ijazah ini pula sememangnya ditubuhkan dengan tujuan mahu membantu golongan bekerja yang mahu melanjutkan pelajaran supaya tahap pendidikan golongan ini dapat dinaik taraf sejajar dengan keperluan semasa yang dikehendaki oleh sektornya. Tidak salah bercita-cita untuk menggenggam segulung ijazah. Sememangnya cita-cita itu sangat mulia. Namun jangan pula menganggap ijazah yang bakal diperolehi itu suatu perkara yang mudah, umpama membeli ikan di pasar.


Saya masih ingat betapa sukarnya melalui detik-detik hidup sebagai penuntut universiti suatu masa dahulu. Kesukaran itu masih saya rasai hingga kini. Betapa saya bersusah payah ke hulu ke hilir mencari bahan-bahan untuk menyudahkan assignment. Kemudian bersengkang mata pula untuk menyudahkanya. Untuk pengetahuan, jurusan Syariah Islamiah di Universiti al-Azhar Mesir merupakan satu jurusan yang sangat wajib menghasilkan assignment dengan jumlah yang banyak. Maklum saja, subjek-subjek yang dipelajari menjurus kepada hukum-hakam, perbandingan mazhab dan undang-undang Islam. Justeru assignment yang dihasilkan adalah sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu yang dipelajari di dewan kuliah. Susah payah menghasilkan assignment yang seratus peratus menggunakan Bahasa Arab itu menjadi kenangan manis bahkan menyedarkan saya bahawa perjalanan untuk menggenggam segulung ijazah bukan suatu perkara yang mudah.


Berbeza dengan golongan yang satu ini, secara zahir memperlihatkan betapa ijazah adalah suatu istilah yang dipandang enteng. Keluar masuk dewan peperiksaan semacam suatu perkara yang amat biasa. Meniru dalam dewan peperiksaan pula menjadi topik perbualan yang tidak segan silu dicanang-canangkan kepada orang lain. Malah, ada yang berbangga dengan perbuatan meniru tersebut. Assignment yang dibekalkan oleh pensyarah pula menjadi kerja-kerja yang disiapkan disaat-saat akhir. Ada yang lebih dasyat dari itu kerana mengupah orang-orang tertentu supaya membuat assignment tersebut. Mengupah pada erti kata menyuruh membuat dan menyiapkan tanpa dibekalkan sebarang bahan, rangka kerja atau lakaran. Terpulanglah kepada si pembuat bagaimana cara mahu menulis dan menyudahkan kerja-kerja tersebut. Si empunya diri yang bakal menerima ijazah itu lepas tangan sahaja. Sampai masa, datang berjumpa orang yang diupah membuat kerja kemudian bayar dengan harga yang tidak setimpal pula dengan hasil usaha dan titik peluhnya. Lebih dasyat, ada si pembuat assignment yang membuat kerja tersebut secara sukarela dengan alasan bersimpati dengan bakal pemilik ijazah yang anaknya ramai, tugasan-tugasan tertentu banyak dan bertimbun-timbun dan sebagainya. Seterusnya assignment tersebut dihantar kepada pensyarah lalu pensyarah memuji dan memuja pula kepandaian dan kekemasan kerja yang kononnya hasil usaha bakal pemilik ijazah ini. Lebih membanggakan bakal pemilik ijazah apabila assignment tersebut mendapat gred A. Begitulah rutin golongan yang satu ini. Pendek kata, jika lima assignment yang dibekalkan oleh pensyarah, kelima-lima assignment itu jugalah yang akan diserahkan 'bulat-bulat' kepada pembuat assignment yang diupah atau tidak diupah. Tidak dinafikan masih ada yang rajin menghasilkan sendiri assignment. Namun jumlahnya boleh dibilang dengan jari.


Saya tidak gemar cara ini. Nilai ijazah yang sebenar adalah sangat tinggi. Ilmu yang terkandung dalam segulung ijazah bukan boleh dibeli di kedai-kedai atau di pasar-pasar. Saya tidak begitu marah jika golongan yang satu ini mahu mengupah seseorang untuk membuat atau menyudahkan assignment mereka, namun biarlah dibuat rangka atau lakaran atau ditulis terlebih dahulu segala macam isi dan perkara-perkara yang perlu dimuatkan dalam assignment tersebut. Pendek kata, hasil usaha itu kelihatan dan orang yang diupah itu hanya perlu menaip sahaja kerja-kerja yang perlu dibuat. Tidaklah dinamakan 'lembu punya susu sapi dapat nama'. Orang lain yang bertungkus-lumus menghasilkan dan mencurahkan ilmu di dada marsum, orang lain pula yang mendapat ijazah dengan penuh kebanggaan.


Jika golongan yang satu ini terbaca akan entri saya ini, janganlah marah. Tetapi bacalah dengan mata hati dan fikirkanlah kewajaran penulisan ini. Saya mohon maaf andai ada pihak yang terguris dan terasa hati dengan entri saya kali ini. Namun saya berharap agar ada sekelumit sedar dalam diri bahawa Ijazah Sarjana Muda yang bakal anda perolehi itu adalah tangga pertama yang bakal melayakkan anda untuk melangkah ke tangga-tangga yang seterusnya untuk menuju puncak kejayaan dan menara ilmu.




Saturday, March 14, 2009

Jangan Harapkan Orang

Saya tidak gemar mengharapkan orang lain untuk menyudahkan kerja-kerja atau tugasan yang menjadi tanggungjawab saya. Barangkali sikap yang begini buat saya tidak senang duduk. Hairan juga, bagaimana ada segelintir manusia boleh buat tidak endah dan acuh tidak acuh terhadapat tanggungjawab yang dipundakkan ke atas bahunya? Bertambah hairan apabila ada yang meninggalkan terus tanggungjawab bahkan meminta orang lain mengambil alih tanggungjawab tersebut atas alasan yang tidak konkrit. Pernah juga saya cuba bersikap acuh tidak acuh terhadap sesuatu tanggungjawab, namun ada penolakan dalam diri. Ternyata saya tidak mampu bersikap demikian. Adakala memang perlu buat tidak endah terhadap sesuatu tanggungjawab itupun jika berlaku pertembungan antara dua tanggungjawab. Maka, tanggungjawab yang sangat penting harus didahulukan. Namun tidak pula sampai meninggalkan terus tanggungjawab kedua yang kurang penting itu. Namapun tanggungjawab, perlulah bertanggungjawab ke atas tanggungjawab yang dipikul itu.


+ Cuti sekolah bermula hari ini. Namun sebagai guru, jasad dan fikiran tidak akan pernah bercuti. Esok hingga Selasa, saya akan bercuti ke Kuala Lumpur sambil menuntut ilmu. Warga kota pulang ke kampung tetapi saya berhijrah ke bandar. Tiada apa yang hendak dihairankan.




Monday, March 09, 2009

Salam Maulidur Rasul

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Tanda ingatan kasih rindu buat baginda Rasul terulung Murabbi teragung.



Masjid Amru al- Asr, Kaherah Mesir



Friday, March 06, 2009

Luahan

Hari ini fikiran saya berserabut. Terlalu banyak tugasan di sekolah yang perlu dibereskan. Awal-awal pagi bergegas ke pejabat sekolah menguruskan beberapa perkara. Hari ini murid-murid tahun dua menduduki ujian bulanan untuk mata pelajaran Bahasa Arab. Sepatutnya ujian itu dilaksanakan pada minggu terakhir bulan Februari, namun atas sebab-sebab tertentu ujian terpaksa ditunda pada minggu ini. Murid-murid saya sudah bersedia dan bersemangat mahu duduki ujian. Maklum saja, jika dikalangan mereka berjaya mencapai markah seratus peratus akan ada habuan saya sediakan. Begitu psikologi yang perlu digunakan kepada murid-murid sebagai tanda dorongan dan sokongan. Tidak kisah perlu berhabis wang asalkan murid-murid seronok. Hari ini tiba-tiba sahaja mesyuarat tergempar diadakan. Mesyuarat tersebut diadakan tepat pada giliran saya mengajar. Aduh! Terpaksa akur. Saya tinggalkan kertas ujian atas meja guru dalam kelas tahun dua dan minta pengawas edarkan kepada murid-murid tahun dua disamping mengawasinya. Bagaimana kekalutan menimpa sekalipun alhamdulillah, tugas-tugas dapat dibereskan menjelang jam 12 tengah hari. Pun begitu, masih ada tugasan menanti. Minggu hadapan adalah hari paling sibuk berbanding hari-hari lain. Pada Khamis, 12 Mac Mesyuarat Agung PIBG SKAP kali ke-31 akan diadakan. Saya ditugaskan supaya menyediakan buku program. Hampir tiga tahun berada di SKAP, saya sering ditugaskan dalam bidang ini. Jika tidak, tugas saya sebagai pengerusi majlis. Hari ini pun ada guru yang minta saya gantikan tempatnya menjadi pengerusi majlis untuk mesyuarat agung yang bakal tiba. Tapi saya menolak dengan senyuman. Apa boleh buat, tugasan telah dibahagikan sama adil. Saya perlu menyempurnakan tugasan saya dan guru-guru lain juga perlu berbuat demikian. Barulah adil bukan?

Monday, February 23, 2009

Lama namun bermakna

Terkadang, saya terlupa akan perkara-perkara lama. Namun, adakala perkara yang lama akan mengembalikan nostalgia susah-senang, suka-duka yang penuh makna. Hari ini, saya dihubungi oleh seseorang yang tidak pernah saya sangka akan menghubungi saya. Sejujurnya saya telah melupakan perkara tersebut kerana tidak pernah meletakkan apa-apa harapan. Apabila seseorang yang menghubungi itu menyebutkan sebaris tajuk yang pernah saya cipta dan lakarkan di atas kertas, saya berfikir sejenak lalu ingatan terhadap tajuk itu kembali. Sesuatu yang saya tulis pada tahun 2005 ketika diri sedang aktif menulis. Ya, di saat hati ini menangisi dan meratapi kesengsaraan saudara Islam di Palastin, nostalgia itu kembali. Namun kini, kesedihan akan dapat dikongsi bersama. Insya-Allah, pada suatu hari yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t.


+ Terima kasih kepada Pn. Nisah Haron atas kesudian memaklumkan nombor telefon bimbit terkini saya kepada seseorang yang menghubungi saya pada hari ini. Makluman yang diberikan itu telah memudahkannya menghubungi saya setelah berkali-kali mendail nombor lama yang tidak digunakan.