Pages

Thursday, February 24, 2005

BICARA HATI

Saya sekarang sudah berada di kota kecil Mansurah. Selamat tinggal kota Cairo buat beberapa waktu. Ada sesuatu telah saya temui sepanjang perjalanan ke kota kecil Mansurah. Sepanjang perjalanan itu juga saya menerima beberapa sms. Terima kasih buat insan yang sudi memugar semangat saya. "Biar kecewa jangan putus asa." Saya genggam kata-kata itu hingga kini dan selamanya. Saya memerhati keindahan bumi Mansurah. Perjalanan yang dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan yang menghijau. Tanaman-tanaman subur itu buat hati saya menjadi tenang. Pelbagai perkara saya fikirkan. Pelbagai ilham lahir dan akhirnya saya sudah berpijak di bumi Mansurah.

Kadangkala ragam manusia sukar ditafsir.
Kadangkala perangai manusia sukar dimengertikan. Kadangkala kawan bertukar menjadi musuh. Kadangkala musuh bertukar menjadi sahabat.
Kadangkala tika hati bertemu gering, emosi menguasai. Kadangkala insan-insan yang ceria dan gembira itu hatinya derita. Kadangkala manusia menjadi teramat baik dan kadangkala manusia menjadi teramat kejam. Kadangkala manusia hanya tahu bercakap tetapi tidak pula melakukan apa yang dicakapkan itu. Kadangkala tanpa usul periksa manusia cepat bersangka buruk dan kadangkala manusia tidak berjaya mengawal getar kemarahan. Orang yang beriman tutur katanya baik dan sopan. Jiwanya mulus hatinya tulus. Akhlak itu adalah cerminan diri seorang insan. Meskipun zahirnya lembut, tetapi awas! Kala kesabaran melayang, dendam dan marah menyelaputi qalbi, di situlah terlihat dirinya yang sebenar.

Akhlak mulia bunga diri...Wadah lahirnya rasa cinta dan kasih sayang... Jalan untuk memilikinya adalah dengan banyak bermujahadah... Nescaya hati ini akan menguntumkan bunga-bunga diri di maya pada ini sebagai tanda cintakan Ilahi.

Buat seorang adik...
Apakah bicara yang menyentuh hatimu?
Apakah sangsi yang menyelaputi dirimu?
Apakah dura yang bisa buat dirimu jadi tak tentu?
Katakan kepadaku, semoga dapat kurungkai kekusutan dihatimu. Janganlah timbulkan sengketa sesama manusia. Sayangilah saudara-saudara seIslammu. Setiap muslim itu bersaudara. Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya."

1 comment:

be said...

jazakallah