Pages

Friday, April 01, 2005

TUNAS-TUNAS HARAPAN

Lima hari sudah berlalu. Seminar Penulisan Kreatif dan Esei anjuran Kem Latihan Penulis [KELAP] pada 27 Mac yang lalu berjalan dengan jaya dan ceria. Peserta yang mencecah angka 100 orang itu begitu bersemangat dan ceria-ceria. Seperti tahun-tahun sebelum ini juga, kala seminar penulisan dijalankan sambutan daripada peserta amat menggalakkan. Tahun ini tidak kurang hebat juga, malah kedatangan peserta semakin meningkat. Namun sukar untuk membuat jangkaan adakah bengkel penulisan kreatif kelak akan mendapat sambutan yang hangat seumpama ini. Ada juga dikalangan peserta-peserta yang menghubungi saya sehari dua selepas seminar tersebut. Ada yang membuat laporan terhadap perkembangan penulisan mereka. Ada yang meminta kalam-kalam nasihat dan dorongan daripada saya. Tak kurang juga ada yang mahukan bimbingan khusus daripada saya. Saya ini bukan insan yang hebat di persada penulisan. Sekadar membantu dan menunjukkan jalan berdasarkan pengalaman yang teramat sedikit ini. Segalanya bertitik tolak daripada kemahuan dan kesungguhan diri setiap individu.

Saya melihat dikalangan mereka punyai semangat dan keyakinan untuk berkarya. Seminar itu telah menemukan saya dengan seorang dua peserta yang berpotensi menjadi seorang penulis yang menjanjikan. Bahkan telah ada sebelum mereka menyertai seminar lagi. Mereka telah mula berkarya. Mereka sering bertanya dan tidak segan meminta tunjuk ajar. Insan sebegini yang saya lihat mempunyai semangat yang kental dan hebat. Mereka yang berani menyambut cabaran saya itu saya kira adalah insan-insan yang benar-benar terbuka minda dan mempunyai sekelumit kesedaran untuk menulis.

Namun saya tidak pasti, adakah semangat mereka yang berkobar-kobar itu sekadar ikutan atau dek kerana kata-kata semangat yang saya dorongkan untuk mereka. Jika kesedaran itu benar-benar hadir dalam benak mereka, saya tidak perlu bimbang. Mereka akan terus menulis meskipun tanpa kehadiran saya di Bumi Kinanah ini. Tetapi, jika sikap dan semangat yang mereka miliki pada hari ini hanya ikutan semata, nescaya apa yang dilakukan itu tidak akan kekal lama. Saya akan melihat dan menunggu kelahiran penulis-penulis baru di Timur Tengah ini. Saya agak cenderung meletakkan harapan kepada mereka yang menyertai bengkel kelak. Saya yakin dan percaya, hanya insan-insan itu yang benar-benar mahukan suatu anjakan paradigma dalam diri mereka. Itulah insan-insan yang semahunya mengubah sikap disamping mencari dan menilai kemampuan dan potensi diri. Mereka mahu mencungkil bakat dan yang pasti mereka tahu apakah tujuan mereka untuk menulis.

Saya pada hari ini, sudah dapat menilai dan mengenal pasti calon-calon penulis baru itu. Harapan saya untuk mereka agar bersabar, tekun dan gigihlah dalam menjejaki suatu mandala baru dalam hidup yang rencam dan berliku. Ini titik permulaan untuk mereka yang gigih berusaha. Akan ada sinar dan harapan untuk mereka yang tekun dan sentiasa sabar. Tiada jalan pintas menjadi seorang penulis melainkan akan mengharungi liku-liku dan jerit perih sebagai calon penulis baru. Semoga insan-insan seperti mereka tidak andar di tengah jalan. Biar kecewa, namun jangan sekali berputus asa dalam menjejak dunia sastera yang harus dipelihara.

Saya, sudah mula menumpukan perhatian untuk imtihan yang akan datang. Semoga usaha menjejaki ilmu dan kejayaan berhasil untuk sampai kepuncak.

3 comments:

Anonymous said...

Memang tidak dapat dinafikan, kecintaan seni sastera yang tertumpah di lubuk hati membuatkan insan terburu-buru menghasilkan karyanya. Begitulah rasa hati. Gelora yang datang ibarat ombak membantai tebing di pantai. Terkadang segala kewajiban diendahkan dalam melayani idea-idea yang berpusu hadir. Perasaan itu tidak dapat di tahan lagi. Karya cerpen mesti ku siapkan segera agar imtihan yang dekat mendatang dapat ku hadapi dengan penuh tumpuan. Debaran telah reda bergetar, cerpen sudahpun tamat dilakar. Kini aku tumpukan penuh perhatian di medan imtihan yang menjelang tiba.

Anonymous said...

Memang tidak dapat dinafikan, kecintaan seni sastera yang tertumpah di lubuk hati membuatkan insan terburu-buru menghasilkan karyanya. Begitulah rasa hati. Gelora yang datang ibarat ombak membantai tebing di pantai. Terkadang segala kewajiban diendahkan dalam melayani idea-idea yang berpusu hadir. Perasaan itu tidak dapat di tahan lagi. Karya cerpen mesti ku siapkan segera agar imtihan yang dekat mendatang dapat ku hadapi dengan penuh tumpuan. Debaran telah reda bergetar, cerpen sudahpun tamat dilakar. Kini aku tumpukan penuh perhatian di medan imtihan yang menjelang tiba.

3:41 AM

Syarifah Salha Syed Ahmad said...

Teruskan berkarya. Semoga cemerlang dalam imtihan yang bakal tiba.