Pages

Thursday, April 14, 2005

PERTEMUAN

Semalam telah berlalu. Hari ini destinasi pesinggahan yang perlu dilumati dengan agenda harian yang manfaat agar hidup tidak menjadi sia-sia. Esok adalah laluan hidup yang harus diatur sebaik mungkin. Saya menerima e-mel daripada seorang sahabat. Juga saya kira dia adalah seorang kakak yang pernah memugar semangat, memberi nasihat dan tunjuk ajar. Hampir lima tahun kami tidak bertemu. Semenjak tamat alam persekolahan. Juga dalam tempoh itu saya tidak jemu mengutusinya meskipun tiada respon yang diberi. Semalam dan hari ini, khabar gembira telah datang, dia telah mengutusi saya via e-mel. Dia terjumpa e-mel saya sewaktu sedang melayari Internet. Dia bercerita perihal dirinya. Tidak saya sangka, dia sudah mempunyai dua orang cahayamata. Saya tumpang gembira. Dia lebih mesra dengan panggilan Kak Ngah itu tidak lokek bercerita pengalaman hidup sepanjang beberapa tahun ini. Dia yang saya kenali, masih begitu sikapnya. Sopan santun dan berlemah lembut. Khabarnya kepada saya, dia sekarang bekerja di PAAC BUSINESS INSTITUTE, sebuah kolej, mengajar moral dan pengajian Islam. Dia juga dalam usaha menyiapkan tesis M.A. Katanya kepada saya, dia bercadang untuk memilih tajuk tesis "Pemikiran Harun Yahya Dalam Penafsiran Ayat-Ayat Kauniyyah". Juga dalam usaha memikirkan masalah kajian untuk tajuk ini dan latar belakangnya, hepotesis dan objektif kajian. Saya tergakum dengan usahanya meskipun dia seorang ibu kepada dua anak, sentiasa ceria, aktif dan pandai pula membahagi masa. Dia juga sedang menunggu kelahiran cahayamata ketiga. Semoga Allah memberi perlindungan dan kebahagiaan kepadanya dan keluarga.
Betapa ukhuwah itu indah andai dibajai dengan rasa kasih, sayang, persefahaman, kejujuran dan keikhlasan lalu bercambahlah ranting-ranting keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ukhuwah itu indai andai bertemu dan berpisah kerana Allah.

No comments: