Pages

Monday, February 28, 2005

SASTERA DAN SASTERAWAN

Usai sudah kolokium AKAR yang pertama. Beberapa aktiviti diselitkan sekitar masa 3 jam itu. Amanah yang terpundak di bahu saya sudah diselesaikan. Alhamdulillah, berhasil menyediakan kertas kerja Proses Penulisan Cerpen dan telahpun saya bentangkan kepada ahli-ahli AKAR. Masa terlalu mencemburui saya. Meskipun terlalu banyak mahu diutarakan, namun kasus sekeliling tidak mengizinkan saya untuk terus berlama menatap dan memugar semangat bakal-bakal penulis. Tuntasnya, saya metah gembira di atas kehadiran ahli-ahli AKAR yang ceria dan penuh pengharapan itu.

Ingin saya menyorot kembali nama-nama cerpenis Melayu yang giat menulis dalam akhir tahun 50-an dan 60-an. Golongan pertama yang memulakan kerja menulis pada akhir tahun 50-an terdiri daripada S.N Shahnon Ahmad, S.N A. Samad Said, Hassan Mohd Ali, Alias Ali, Dora, S.N Arena Wati, Malungun, Asmaranda, Kala Dewata, Kassim Ahmad, Adi Mas, A. Shukor Harun, Anis Sabirin, Rukiah Abu Bakar, Salmah Mohsin dan ramai lagi. Golongan kedua pula yang memulakan kerja-kerja menulis pada tahun 60-an ialah S.N S. Othman Kelantan, Alias Murni, A. Wahab Ali, Ali Majod, Ahmad Mahmud, A. Rashid Ngah, Anas K. Hadimaja, Stanza, Nirmala Nur, A. Hasni, Onn Ab. Rahman, Shahrum Mohd Dom, Norzah, Azizi Haji Abdullah, Zahrah Nawawi, Zawiyah Mohd Noh dan beberapa orang lagi yang tidak saya sebutkan di sini. Juga lahir selepasnya golongan yang lebih muda daripada golongan di atas seperti Mohd Affandi Hassan, A. Rahman C. M, Ismas Saring, Atondra, Abdullah Tahir, Mana Sikana, Sharif Putera, S. N Othman Puteh, Khadijah Hasyim, Timah Baba, Sarah Rahim dan ramai lagi.

Mutakhir ini telah lahir lebih ramai lagi barisan cerpenis dan penulis yang menghiasi kamar sastera Melayu. Tidak asing jika menyebut nama-nama seperti Marsli N. O, Mawar Syafei, Amaruszati Nor Rahim, SM Zakir, Abdul Latip Talib (antara barisan seperjuangan selepas golongan-golongan di atas, juga sekadar memaparkan nama-nama ini). Golongan yang lebih muda pula seperti Nisah Haji Haron, Sri Diah, Zaid Akhtar, Mohd Nazmi Yaakob dan golongan yang teramat muda pula seperti Ghafirah Idris, Nimoiz T.Y, Fahd Razy, Siti Hajar Mohd Zaki dan yang terbaru Amiza Khusyri Yusof.

Adakah selepas ini golongan-golongan cerpenis akan lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tidak mustahil dan pasti akan lahir. Cuma daya pemikiran setiap generasi penulis itu amat berbeza. Sebagai contoh, generasi terdahulu banyak menghasilkan karya berunsur propaganda Jepun kerana mereka hidup pada zaman pendudukan Jepun. Juga lebih banyak berunsur Kemerdekaan, politik, sosial ekonomi dan pembangunan. Generasi mutakhir ini pula lebih gemar mengangkat isu semasa, penyelewengan kuasa, undang-undang dan segelintir daripadanya memartabatkan sejarah sesebuah bangsa dan negara. Ironinya, anugerah yang telah diperturunkan oleh Allah kepada mereka ini harus dikembangkan dan diperturunkan kepada generasi penulis baru agar pengalaman yang begitu mendalam ini dapat dikongsi bersama dalam memelihara sastera tanah Melayu itu sendiri. Inilah harta dan permata yang amat berharga telah dimiliki oleh Negara Malaysia dalam mempertahankan dan mengekalkan warisan budaya, bahasa, agama dan maruah negara.

Sehingga kini Sasterawan yang telah menerima Anugerah Sasterawan Negara ialah:
1. 1981: Keris Mas (Kamaluddin Muhammad)
2. 1982: Sahnon Ahmad
3. 1983: Usman Awang
4. 1985: A. Samad Said
5. 1987: Arena Wati
6. 1991: Muhammad Haji. Salleh
7. 1993: Nordin Hassan
8. 1996: Abdullah Hussin
9. 2003: S. Othman Kelantan (Syed Othman Syed Omar)
Syabas! Buat perwira negara di medan pena.

Thursday, February 24, 2005

BICARA HATI

Saya sekarang sudah berada di kota kecil Mansurah. Selamat tinggal kota Cairo buat beberapa waktu. Ada sesuatu telah saya temui sepanjang perjalanan ke kota kecil Mansurah. Sepanjang perjalanan itu juga saya menerima beberapa sms. Terima kasih buat insan yang sudi memugar semangat saya. "Biar kecewa jangan putus asa." Saya genggam kata-kata itu hingga kini dan selamanya. Saya memerhati keindahan bumi Mansurah. Perjalanan yang dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan yang menghijau. Tanaman-tanaman subur itu buat hati saya menjadi tenang. Pelbagai perkara saya fikirkan. Pelbagai ilham lahir dan akhirnya saya sudah berpijak di bumi Mansurah.

Kadangkala ragam manusia sukar ditafsir.
Kadangkala perangai manusia sukar dimengertikan. Kadangkala kawan bertukar menjadi musuh. Kadangkala musuh bertukar menjadi sahabat.
Kadangkala tika hati bertemu gering, emosi menguasai. Kadangkala insan-insan yang ceria dan gembira itu hatinya derita. Kadangkala manusia menjadi teramat baik dan kadangkala manusia menjadi teramat kejam. Kadangkala manusia hanya tahu bercakap tetapi tidak pula melakukan apa yang dicakapkan itu. Kadangkala tanpa usul periksa manusia cepat bersangka buruk dan kadangkala manusia tidak berjaya mengawal getar kemarahan. Orang yang beriman tutur katanya baik dan sopan. Jiwanya mulus hatinya tulus. Akhlak itu adalah cerminan diri seorang insan. Meskipun zahirnya lembut, tetapi awas! Kala kesabaran melayang, dendam dan marah menyelaputi qalbi, di situlah terlihat dirinya yang sebenar.

Akhlak mulia bunga diri...Wadah lahirnya rasa cinta dan kasih sayang... Jalan untuk memilikinya adalah dengan banyak bermujahadah... Nescaya hati ini akan menguntumkan bunga-bunga diri di maya pada ini sebagai tanda cintakan Ilahi.

Buat seorang adik...
Apakah bicara yang menyentuh hatimu?
Apakah sangsi yang menyelaputi dirimu?
Apakah dura yang bisa buat dirimu jadi tak tentu?
Katakan kepadaku, semoga dapat kurungkai kekusutan dihatimu. Janganlah timbulkan sengketa sesama manusia. Sayangilah saudara-saudara seIslammu. Setiap muslim itu bersaudara. Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya."

Monday, February 21, 2005

MINGGU THAQAFAH

+ Baru hari ini saya berkesempatan update blog ini. Sebetulnya, seminggu ini saya berada di kota Kaherah mengikuti Program Minggu Thaqafah dan Hari Keluarga BAKANS (Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan). Seronok juga sesekali dapat berkumpul dan bertemu dengan anak-anak negeri. Pelbagai program diadakan. Ceramah, pembentangan kertas kerja ilmiah dan lain-lain lagi. Semalam saya usai menghakimi pertandingan berbalas pantun. Sempat mengutarakan beberapa komentar untuk peserta pantun meskipun saya ini bukanlah insan yang selayaknya untuk mengadili pertandingan itu. Saya lihat pencapaian dalam menguasai puisi klasik ini masih tidak jauh berbeza. Masih banyak kesilapan yang perlu di betulkan. Sewajarnya, peserta harus peka pada rima pantun dan sewajarnya menguasai seni bahasa yang variasi agar pantun dapat disampaikan dengan baik dan menarik. Intonasi juga memainkan peranan yang penting dalam melenggokkan seni pengucapan pantun. Inilah salah satu seni warisan Bahasa Melayu yang harus dipelihara. Sebelah malam pula, saya sekali lagi menghakimi pertandingan berbalas pantun dikalangan siswa negeri. Tak kering gusi saya melihat telatah dan gelagat siswa berbalas pantun. Ada yang berpantun serupa macam pantun Ujang, ada yang berpantun lemah gemalai suaranya dan bermacam-macam lagi. Apapun gelagat peserta memang mencuit hati.

+ Juga saya sempat menyaksikan pertandingan mendeklamasikan sajak. Masing-masing berbakat. Cuma kebanyakan sajak berupa prosa, kurang nilai estetika dan tidak puitis. Walau bagaimanapun, jika bakat mereka diasah, pasti akan bertambah penyajak-penyajak tanah air.

+ Semalam seusai menghakimi pertandingan berbalas pantun, saya bergegas ke rumah Perak. Menghadiri mesyuarat SEGA (Suara Kampus Gabungan). Banyak perkara dibincangkan. Gerak kerja harus dimulakan kerana SEGA akan diterbitkan sebelum 20 Mac ini.

+ Cerpen saya masih belum sempurna. Bila badan letih letai, jemaripun sukar untuk digerakkan. Sekarang padat dengan majlis-majlis ilmu. Harus seimbang. Saya cuba juga untuk menyempurnakan cerpen saya yang sudah lama terbengkalai. Semoga semangat untuk terus berkarya tidak akan pudar.

Monday, February 14, 2005

DIBURU TUGAS

+ Masa amat mencemburui saya kebelakangan ini. Diasak dengan pelbagai tugas. Juga itu adalah amanah buat diri saya yang harus diselesaikan. Hari ini, pada jam sekitar 12.45 akan berlangsung Majlis Pelancaran dan Penerangan Akademi Karyawan Mansurah (AKAR) pada sesi ini. Antara pengisian di dalamnya: ceramah penulisan oleh Ustaz Ahmad Ubaidillah Alias, pengenalan AKAR, lintas lansung dari Malaysia bersama Ustaz Kamal Said dan Ustaz Ainul Anuar b.Hilmi juga ada gimik slide show daripada AKAR. Semoga majlis ini akan berjalan dengan lancar.

+ Beberapa hari ini, saya terpaksa menangguhkan aktiviti menulis cerpen. Cuba sedaya menyiapkan meskipun sekarang ini sedang sendat dengan jadual kuliah dan tafaqquh. Jika saya tidak menulis, otak akan terasa beku. Justeru, harus sentiasa memburu maklumat dan berita terkini. Jika tidak membaca, saya tidak akan dapat menulis. Tuntasnya, asas kejayaan seorang penulis adalah membaca dan menulis.

Wednesday, February 09, 2005

SALAM MAAL HIJRAH 1426


Salam Maal Hijrah 1426 buat semua penganut agama Islam. Semoga lembaran baru ini bisa meruntun peningkatan dan kemajuan akhlak diri. Sekudus penyerahan buat al-Khaliq Yang Berkuasa. Adakah esok masih ada buat kita. Atau mungkin tahun baru ini yang terakhir buat kita. Sama-sama mengkoreksi diri sejauh mana amal dan ketaatan yang telah dilakukan dan dipersembahkan kepada Tuhan pencatur sekalian alam. Apa lagi yang dicari wahai manusia? Adakah kemewahan dan kesenangan yang bersalut masih tidak mencukupi?

Bersabda Rasulullah s.a.w:
"Apakah yang hendak dikirakan sangat dengan dunia. Umpamaku dan umpama dunia ini laksana seorang penunggang yang sedang berjalan di hari yang panas terik, tiba-tiba kelihatan olehnya sebatang pohon, lalu diapun berteduhlah sebentar di bawah teduhannya. Kemudian dia berangkat lagi dan meninggalkannya."

Tangisilah segala dosa yang telah dilakukan dengan azam tidak mengulanginya lagi. Sesungguhnya selembar bulu mata itu akan menjadi saksi keinsafan dan tangisan diri di akhirat kelak. Dan ingatlah akan kematian yang semakin hampir dan sedang ditunggu. Kala langit telah terbelah, nescaya tiada lagi keampunan daripada Allah.

"Apabila langit terbelah dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan dan apabila lautan dijadikan meluap dan apabila kuburan-kuburan dibongkar maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang dikerjakan dan yang dilalaikannya. Hai manusia apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah."
(al-Infithar: 1-5).

Friday, February 04, 2005

BERJALAN, MELIHAT DAN MENTAFSIR

+ Semalam saya ke Port Said. Bersama rakan-rakan dan housemate ditemani oleh dua pasang suami isteri. Sengaja mahu bermesra dan mencipta kenangan bersama teman-teman serumah. Bukan senang ke sana ke mari secara beramai-ramai bersama teman-teman serumah. Sesekali mahu juga menikmati suasana indah di bumi orang. Apa yang kami beli di sana? Pakaian khususnya jubah dan sempat juga membeli sotong di pasar. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di tepi pantai. Bergambar kenang-kenangan dan bermain-main dengan riak-riak buih di gigi air. Sesekali terkagum melihat ombak menghempas pantai. Teringat peristiwa Thunami, bagai gerun pula lantaran hati berbisik: beginilah kekuasaan Allah. Berjalan, melihat dan mentafsir harus seiring. Ingin berehat sebentar daripada dikejar keripuhan kota kecil Mansurah sambil mencari ilham baru. Jika kuliah sudah bermula, peluang ini tidak akan hadir lagi.

+ Hari ini, sesuatu telah menemukan saya tentang ragam manusia. Acapkali manusia sebagai pembaca mahu tahu tentang tips-tips untuk menulis cerpen. Mahu jadi terkenal katanya. Oh! Begitu hasratnya. Dalam hati begitu sedih, adakah saya ini buat insan lain berkobar-kobar untuk menulis semata-mata ingin mendapat nama? Mengapa harus begitu? Berkali-kali saya katakan: jika mahu tahu tips-tips menulis cerpen, pastikan anda sudah mula menulis cerpen. Akan saya lihat hasilnya dan akan saya ajarkan tips-tipsnya, secetek pengetahuan yang saya ada. Menulis bukan untuk mendapat nama. Menulis bukan untuk suka-suka. Kerja-kerja menulis amat berat dan berliku. Penulis adalah pembimbing untuk diri sendiri dan masyarakat. Saya berharap, kepada sesiapa yang berhasrat ingin menjadi penulis, tanya kepada diri anda: apakah tujuan anda menulis? Adakah semata-mata ingin mencari nama?

Anugerah tuhan yang diperturunkan kepada seorang penulis bukan semudah yang ditafsirkan kerana bertahun malah ada puluhan tahun berhempas pulas mempelajari, mendalami serta mempertajamkan bakat tersebut. Ketekunan yang tidak pernah reda, akan membawa diri seorang penulis melangkah lebih jauh. Oleh itu, usah lekas megah diri kerana anugerah itu ibarat sebutir pasir antara selaut mutiara. Tidak tahu segigih mana usaha manusia menggilapnya menjadi mutiara. Sejujur saya mengingatkan diri sendiri dan anda semua, menulislah kerana kesedaran. Menulis bukan untuk mencari nama. Namun seorang penulis perlu mendapat nama agar karya dapat dibaca oleh khalayak pembaca sebagai jalan dakwah seorang penulis. Bagaimana mahu berdakwah melalui penulisan andai karya anda hanya terceruk dan tersimpan dihelaian kertas dan buku. Bersama memugar dan menyadur kesedaran, sastera membina manusia berfikir, beretika, menghalusi pertimbangan, bersikap adil dan saksama dan dapat menjiwai dan membayangkan perasaan orang lain. Penulis juga adalah pelukis gambaran kehidupan masyarakat lantas memandu dan memberi imbangan kepada dunia seseorang yang sering tersesat dalam dunia yang rumit dan agak kacau ini. Inilah juga tanggungjawab kita sebagai penulis yang sewajarnya menyerapkan nilai-nilai moral dalam hasil karya. Menulis bukan untuk suka-suka dan berfantasi ria. Penulis perlu mengkaji, terjun dalam masyarakat lalu mengadun dan menggarap idea dan pengalaman itu menjadi sebuah karya untuk ditatap oleh khalayak pembaca.

Apabila khalayak pembaca membaca sesebuah karya seorang penulis khususnya penulis-penulis baru abad ini, segelintir daripada mereka akan berkata: saya macam pernah membaca cerpen ini. Tak kurang juga ada yang berkata: ini mesti cerpen yang diciplak. Apa perasaan anda sebagai seorang penulis jika kata-kata ini meresap ke corong telinga anda? Pertama kali saya mendengar seorang pembaca mengkritik karya seorang penulis muda tanah air (saya kagum dengan penulis ini), semacam telinga berasap juga. Namun saya tunggu, sejauh mana kritikan ini akan terjadi untuk kesekian kalinya. Saya kira, pengalaman dikritik pasti dirasai oleh semua golongan penulis. Saya sendiri, sewaktu mengikuti begkel cerpen di bawah kendalian Amiza Khusyri, ada peserta berkata: cerpen ini sama macam cerpen Faisal Tehrani bertajuk “Di bawah Batu.’ Saya sendiri tidak pernah membaca cerpen saudara Faisal itu. Dan ada yang berkata, saya menciplak cerpen itu. Waduh! Amat bisa tuduhan itu buat saya.

Barangkali kerana kurang faham, khalayak pembaca sewenang-wenang mentafsir karya seorang penulis. Tidak dinafikan, ramai dikalangan penulis-penulis baru, agak gemar membawa tema yang sama (tema yang pernah di bawa oleh penulis lain). Tema ini agak klise. Namun, di sadur dalam bentuk yang menyegarkan. Sehingga cerpen itu tampak menarik. Seorang penulis baru, mana mungkin dapat mencipta identiti sendiri. Pasti karya yang terhasil akan cenderung menyerupai gaya bahasa dan langgam penceritaan penulis yang diminatinya. Sudah pasti kala mahu menulis, bertimbun-timbun bahan rujukan di kiri kanan meja. Sudah tentu juga banyak membaca kerana mahu tahu gaya bahasa dan teknik penceritaan yang biasa di bawa oleh penulis-penulis lain. Hasilnya, cerpen yang terhasil itu, semacam menyerupai frasa-frasa dan diksi-diksi penulis mapan dan kawakan. Menulis perlu berguru. Meskipun guru itu hanyalah sebuah buku. Justeru, jika mahu menjadi penulis, rajin-rajinlah membaca dan rajin-rajinlah menulis. Begitu pernah dikatakan oleh Saudara Nazmi Yaakob sewaktu saya mengikuti begkel cerpen yang dikendalikannya. Begitu juga pernah kak Mawar memuji Saudara Nazmi dan Zaid Akhtar dalam e-melnya kepada saya: mereka saya lihat rajin membaca dan menulis.

+ Buat khalayak pembaca, dunia sastera sememangnya kaya dengan kritikan. Terima kasih kepada anda yang berani mengkritik. Di sana terlihat hasrat anda yang mahukan sebuah karya yang bagus untuk dibaca. Asyik menikmati dan mengkritik karya orang, bila lagi mahu menghasilkan karya sendiri?

+ Kepada diri saya sendiri, masih banyak kekurangan yang perlu ditampung. Masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Masih banyak kesilapan yang tidak wajar diulangi.

+ Kepada rakan-rakan penulis, barangkali sudah tiba masanya mencari sebuah tema yang agak ganjil. Namun saya tidak tahu bagaimana, kerana dunia ini sendiri adalah sebuah cerpen dan lakonan. Sering memaparkan tema kekeluargaan, percintaan, masyarakat dan sebagainya (yang sering pula dijadikan tema dalam karya seseorang penulis). Begitulah hakikatnya.

+ Saya, akan terus berjalan, melihat dan mentafsir ragam manusia. Barangkali akan menemukan saya idea yang baru.