Pages

Wednesday, July 12, 2006

DBP DAPAT KUASA HUKUM PIHAK CEMARKAN BAHASA

DBP DAPAT KUASA HUKUM PIHAK CEMARKAN BAHASA

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menjadi pengembang bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akhirnya diberi kuasa bertindak ke atas mana-mana pihak mencemarkan penggunaan bahasa kebangsaan itu termasuk pada papan tanda iklan.

Ketika ini, DBP hanya berfungsi sebagai organisasi mengembangkan bahasa dan sastera Melayu, tetapi tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkenaan.

Sehubungan itu, Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) akan dipinda akhir tahun ini bagi membolehkan agensi itu mendakwa semua pihak yang menggunakan bahasa kebangsaan tidak betul dari aspek tatabahasa.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim (gambar), ketika mengumumkannya semalam menegaskan, kerajaan tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan pihak yang memandang remeh Artikel 152 Perlembagaan mengenai fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Bahasa Melayu seolah-olah tidak dihormati, apatah lagi dihayati sebagai bahasa penyatu masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Memperkasa Bahasa Kebangsaan di sini, semalam.

Mesyuarat dipengerusikan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Rais berkata, kementeriannya dan Kementerian Pelajaran sedang bekerjasama menyediakan kertas Kabinet mengenai pindaan akta itu. Akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun sebelum boleh dikuatkuasa tahun depan.

Beliau menjelaskan, pindaan akta itu bukan bertujuan mengambil alih kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab meneliti penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda iklan, sebaliknya berfungsi sebagai induk penggunaan bahasa Melayu dalam semua sektor.

"Bukan saja papan tanda iklan, malah penggunaan bahasa Melayu pada buku, media massa dan pelbagai sektor yang lain harus patuh pada akta ini," katanya.

Mengenai bentuk hukuman, Rais berkata, kedua-dua kementerian mengkaji untuk mengenakan denda yang agak tinggi bagi kesalahan itu.

Beliau juga berkata, kedua-dua kementerian akan menyediakan kertas cadangan mengenai Dasar Buku Negara yang antara lain mengkaji masalah penerbitan buku, termasuk kos kertas dan percetakan, selain mewujudkan Pekan Buku di ibu kota, bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pindaan akta itu melengkapkan usaha kedua-dua kementerian mendaulatkan bahasa Melayu dalam sektor awam dan swasta.

"Enam agensi di bawah kementerian saya digerakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi memastikan bahasa Melayu digunakan dengan betul," katanya.

Firdaus, ditemui selepas mesyuarat itu, berkata tanpa pindaan akta itu DBP hanya memberi nasihat tanpa boleh mendakwa pihak menggunakan bahasa Melayu secara salah.

"DBP seolah-olah menggigit tetapi tidak ada gigi. Dengan adanya pindaan akta ini, kami harap semua pihak akan lebih menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan berbangga menggunakannya," katanya.


Sumber: Berita Minggu.

No comments: