Pages

Wednesday, July 05, 2006

RAGAM MURID

RAGAM MURID





Apabila saya tiba diperkarangan sekolah setiap hari, pasti ada yang menyambut saya. Jika tidak seorang, dua orang atau tiga orang. Tidak kira lelaki atau perempuan. Salah seorang daripada mereka pasti ada. Kebiasaan yang perempuan akan memegang tangan saya. Lalu saya memimpin tangan mereka menuju ke bilik darjah. Setiap hari wajah-wajah yang berbeza akan menyambut saya. Tidak kurang juga wajah yang serupa pasti mengambil bahagian. Ini bukan pertandingan untuk menyambut seorang guru tiba ke sekolah. Ini juga bukan pertandingan yang dijalankan untuk menjadikan guru dan murid saling mesra dan berkasih sayang.

Saya sangat suka kepada kanak-kanak. Saya lebih suka mendekati dan mendidik mereka dengan kasih sayang, bukan herdikan dan tengkingan. Saya pernah melalui zaman persekolahan. Zaman kanak-kanak yang sedikit sebanyak sememangnya ada kenakalan dan kedegilan.

Apabila menjadi seorang guru, saya belajar untuk menjadi seorang yang tabah dan sabar. Bukan senang mengendalikan dan mendidik murid yang pelbagai ragam dan kerenah. Justeru, apa tujuan marah-marah. Hanya akan melelahkan diri sendiri.

Sewaktu di zaman persekolahan, saya lebih terkesan dengan didikan guru yang penyabar. Saya amat gerun dan tidak selesa jika guru marah-marah dan menengking ketika mengajar. Bagi saya, semua itu hanya akan menghilangkan kosentrasi saya terhadap apa yang diajar ketika itu.

Justeru apabila saya berada pada tempat seorang guru, saya cuba memahami perasaan seorang pelajar. Semua pelajar mahukan perhatian dan kasih sayang daripada guru-guru. Saya lebih suka menjadi ibu kepada anak-anak murid saya, dengan itu saya lebih selesa bergaul. Antara saya dan mereka tidak perlu ada jurang yang memisahkan.

Pernah pada suatu hari, seorang pelajar lelaki melengah-lengahkan kerja yang saya bekalkan di dalam bilik darjah. Saya agak geram juga kerana setiap hari dia akan buat perangai yang sama. Bila sudah tiba waktu rehat, barulah dia tergesa-gesa membuat kerja. Saat itu hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya. Akhirnya saya panggil dia ke hadapan supaya berjumpa saya. Saya ketika itu dikelilingi oleh pelajar perempuan. Berat mulut saya mahu memarahinya. Saya minta dia mendekati saya dan saya tenung matanya, lama. Dia serba salah. Sekejap memandang ke atas, sekejap memandang ke bawah, pandang ke kiri dan kanan. Dalam hati saya terbit rasa lucu melihat gelagatnya yang sebegitu. Akhirnya saya ketawa beranak-anak. Dia turut ketawa dan semua seisi kelas turut ketawa. Begitulah ragam murid-murid. Membuat hati saya sering terhibur meskipun kadangkala ada juga perkara yang membuat hati saya membengkak.

Dua hari lepas seorang pelajar baru buat hal di dalam bilik darjah. Dia pelajar lelaki. Baru seminggu bertukar sekolah. Dalam tempoh seminggu itu saya dapati dia seorang yang agak nakal juga. Suka mengusik kawan-kawan. Usikannya pula sering buat pelajar yang kena usik itu menangis.

Hinggalah pada hari tersebut seorang pelajar lelaki telah menjadi mangsa usikannya. Apa lagi, pelajar tersebut menangis dan mahu membalas pula. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku jika mereka ketika itu adalah pelajar lelaki yang berusia belasan tahun. Mujur mereka ini masih kecil. Saya tegur perbuatan pelajar yang suka mengusik itu. Pelajar yang terkena usikan juga saya tegur. Tetapi lain pula yang terjadi. Pelajar yang suka mengusik ini berkata begini " tak apa ustazah marah, saya nak balik sekarang." Aduh! Dia sudah merajuk pula. Ditegur salah tak ditegur pun salah. Akhirnya dia angkat punggung dan keluar dari bilik darjah. Ketika itu saya dapati pelajar yang lain menempelak pelajar tersebut. Kata mereka "hah! Pergilah balik, tak malu lawan cakap ustazah."

Baru seminggu bersama pelajar tersebut, saya rasa kesabaran ini benar-benar diuji. Saya biarkan dia melayan perasaannya ketika itu. Saya tahu, dia tidak akan pulang ke rumahnya. Saya teruskan pembelajaran. Saya lakukan suatu permainan menguji minda. Kemudian disusuli pula dengan permainan menguji kecekapan mendengar arahan. Semua pelajar bertepuk tangan dan gembira apabila mereka berjaya.

Rupa-rupanya permainan tersebut menarik perhatian pelajar yang suka mengusik itu. Saya lihat dia menyorok di sebalik pohon bunga kertas yang hampir dengan bilik darjah. Kemudian dia menghampiri pintu bilik darjah. Saya lihat hujung mata sahaja. Wah! Dia sudah mula ikut ketawa. Akhirnya tanpa malu dia masuk semula ke dalam bilik darjah.

Begitulah ragam murid-murid tahun satu yang saya sayangi.

No comments: