Pages

Sunday, July 03, 2005

PENGALAMAN YANG MEMATANGKAN

Semalam sebelum pulang ke kota kecil Mansurah hati rasa berdebar-debar. Semacam emosi dan deras darah berkocak. Saya nyatakan perasaan tidak tenteram itu kepada rakan-rakan serumah. Kata mereka: banyakkan beristighfar mungkin ada sesuatu bakal terjadi. Sekitar jam 8.00 pagi saya dan lima rakan melangkah keluar dari imarah (bangunan) Negeri Sembilan. Dua rakan saya, Aishah dan Nurul Huda berjalan di bahagian hadapan. Saya dan kak Mazlina berada pada bahagian tengah dan Mariam serta Norviyah berada di belakang saya. Hampir tiga langkah sebelum sampai ke jalan besar, tiba-tiba ada sebuah kereta meluncur di sisi kak Mazlina lalu cuba meragut beg yang tersandang di bahu kanannya. Serta merta rakan saya Norviyah menjerit dan saya dengan pantas menoleh. Alhamdulillah, mungkin kerana jeritan itu buat si peragut tergegau lalu mematikan niat untuk mencuri dan terus memecut kereta. Sepanjang perjalanan dari Hayyu Sabi' ke Ramsis kami lebih berhati-hati. Sesampai di Ramsis kami berpisah dengan Aishah dan Nurul Huda kerana mereka menuju ke destinasi kota tinggalan Iskandar Zurkarnain, Iskandariah (Alexandaria). Kami berempat pula mengambil kenderaan menuju ke Mansurah menaiki van. Tepat jam 11.00 pagi kami tiba di kota kecil Mansurah dan pulang ke rumah masing-masing. Sesampai di rumah sewa, saya berehat seketika melepaskan lelah dan penat. Namun hati saya masih berdebar-debar dan fikiran semakin runsing. Saya tekan butang komputer dan buka e-mel. Ternyata ada seseorang telah mengirim e-mel kepada saya. Namun, berita yang disampaikan buat saya tidak keruan. Saya tidak tahu mengapa jiwa saya harus keruan kala membaca e-mel tersebut. Saya tahu bukan sekali saya menerima e-mel sebegitu. Hati saya menjadi sedih dan terus menelefon emak di kampung. Saya ceritakan apa yang telah terjadi. Emak berpesan, banyakkan bersabar mungkin itu dugaan daripada Allah S.W.T. Saya lega namun kali ini saya tidak menangis seperti selalu. Tetapi rasa lesu mula menjelira di urat dan saraf. Saya benar-benar keletihan dengan situasi begitu. Usai solat Zuhur, saya bungkam di atas katil hingga menjelang waktu solat asar. Hari ini, keletihan dan keresahan jiwa semakin pulih. Ada rafik yang sudi memberi nasihat dan pandangan. Saya redha dengan ketentuan ini. Ada insan yang lebih menghargai dan sanggup berkorban demi melihat kebahagiaan dan keceriaan hidup saya. Mereka itu insan-insan yang pernah melalui situasi yang serupa dan sama namun agak berbeza cara dan pengalaman. Setiap ujian Allah ada hikmahnya. Hari ini saya rasa gembira. Saya akan meneruskan aktiviti penulisan saya dengan bersemangat insya-Allah. Kata seorang rafik, tersenyumlah meskipun dalam jiwa diranduk duka dan bimbang. Zahirkan senyuman meskipun dalam jiwa menangis. Begitu lebih kurang kata-katanya telah saya petik dan telah saya tafsir lalu mengolahnya dengan waras akal lalu saya anyam dengan keindahan bahasa dan sastera. Kami berbincang, "Flower Dreams" apa maknanya. Katanya, dia tidak begitu mahir tentang grammer. Saya juga bukan golongan cerdik pandai mentafsir istilah-istilah Inggeris. Namun saya lebih suka mentafsir istilah itu dalam sastera Melayu. Bunga-bunga mimpi katanya lalu saya tafsir, bunga-bunga mimpi yang indah namun hanya sementara kala realiti datang mengulit segala keindahan itu bertaburan dan pecah bak kaca terhempas ke lantai. Begitulah keindahan mimpi namun kita harus berpijak pada realiti hidup yang sebenar. Pengalaman telah banyak mematangkan manusia untuk meniti jambatan usia di masa akan datang. Hanya meyakini, hidup tidak selalunya indah dan pengalaman itu harus dikongsi bersama buat panduan hidup semua manusia. Lalu, mengapa harus dipersia bakat dan kebolehan yang ada kerana di sana kita bermula, merasa, jatuh dan bangun.
****************************
Hidup tidak selalunya indah,
Langit tak selalu cerah,
Suram malam tak berbintang...
Itulah lukisan alam.
****************************
Jadilah rumput nan lemah lembut,
Tak luruh dipukul ribut,
Bagai karang di dasar lautan,
Tak terusik dilanda badai.
**************************
Dalam sukar hitunglah kesyukuranmu,
Dalam senang awasi kealpaanmu,
Setitis derita melanda,
Segunung kurniaan-Nya.
****************************
Dalam diam taburkanlah baktimu,
Dalam tenang buangkanlah amarahmu,
Suburkanlah sifat sabar,
Di dalam jiwamu itu...
****************************
Usah mengharapkan kesenangan,
Dalam perjuangan perlu pengorbanan,
Usah dendam berpanjangan...
Maafkan kesalahan insan,
Begitu ajaran Tuhan...
****************************

No comments: