Pages

Saturday, September 17, 2005

FESTIVAL KONVOKESYEN DAN ULASAN ANTOLOGI SJM

Saya usai menghadiri Festival Konvokesyen Dan Anugerah Mahasiswa Cemerlang kali ke-14 pada tahun ini pada 14 September yang lalu. Terima kasih kepada penganjur, PMRAM selaku badan bertindak yang menjaga kebajikan mahasiswa-mahasiswa Malaysia al-Azhar. Terima kasih juga kepada ajk pelaksana yang telah bertungkus lumus menjayakan Festivel Konvokosyen tersebut. Tahniah kepada semua yang bergelar graduan. Kenangan itu tidak akan saya lupakan.

Meskipun ripuh dalam persediaan menghadirkan diri ke majlis tersebut saya sempat mengkhatami Antologi Cerpen Salju Jabal Musa. Inilah pengalaman membaca antologi cerpen penulis-penulis muda yang cukup menarik. Memang selayaknya Esastera.com menghimpunkan karya-karya lima penulis muda ini untuk tatapan khalayak pembaca khususnya peminat sastera.

Membaca cerpen Sdr Amiza Khusyri buat saya lebih memahami prinsip dan perjuangannya dalam medan pena. Sentiasa segar dengan tema perjuangan membela maruah agama, mengangkat dan memartabatkan Islam dan Bahasa Syurga (Bahasa Arab). Di sini kekuatan Amiza, berusaha membuka mata khalayak pembaca demi menitipkan satu kesedaran dan kepekaan yang sewajibnya dimiliki oleh umat Islam. Ternyata Amiza mempunyai daya sensitiviti yang amat kuat terhadap pergolakan dan penindasan yang berlaku pada dunia Islam hari ini. Katanya kepada saya 'Salha, kita adalah mujahidin sastera'. Lalu saya faham begitu perjuangannya mempertahankan nasib agama, umat dan negara Islam dewasa ini. Justeru, itulah kesedaran yang dimilikinya dari dahulu hingga kini. 'Salju Jabal Musa, Pengemis Tua Di Masjid Hussein dan Cahaya Zulmat' punyai motiv yang sama namun jalan cerita dan persembahannya disadur dengan bahasa yang tenang dan lancar...cukup indah.

Kala membaca cerpen-cerpen Sdr Fahd Razy, 'Enigma Dunia, Suara Dari Rahim dan Tiga Mini Cerpen Malam 31' buat saya seolah dipandu menuju ke satu destinasi yang amat menggerunkan. Satu persatu imaginasi yang cukup kuat dihantar dalam deru nafas hujung penanya lalu terhasil sebuah gambaran kehidupan dunia yang cukup menyentuh perasaan. Kekuatannya menampilkan cerpen cereka sains dengan mengangkat isu-isu dan fenomena semasa ternyata membuktikan kepekaan dan ketajaman mindanya mencipta realiti kehidupan dalam imaginasi yang cukup tinggi bersesuaian dengan dirinya sebagai seorang pelajar perubatan. Saya kagum dengan penulis muda ini, mempunyai jiwa kental menelusuri dan memupuk semangat kecintaan terhadap perjuangan mencari pembelaan oleh satu nyawa, bangsa dan dunia.

'Telah diberinya hati' karya Sdr Ghafirah Idris, pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004 cukup menyentuh perasaan. Begitu juga cerpen 'Warkah Derita Dari Tanah Setinggan dan Revolusi Versailles' mengenalkan saya pada jiwa Ghafirah yang mudah tersentuh dengan sesuatu perkara yang menjentik naluri kemanusiaan dan kasih sayang. Tidak hairanlah penulis muda yang tidak asing ini sering menggondol anugerah-anugerah sastera lantaran gaya pengucapan, penyampaian dan langgam penceritaan yang cukup tersusun diselangi lenggok bahasa yang indah dan menawan hati khalayak pembaca. Membaca karya-karya Sdr Ghafirah semacam menemukan saya dengan dirinya yang dilimpahi kasih dan sayang terhadap sarwajagat. Demikian akan terdidik jiwa jika membaca karya-karya Sdr Ghafirah. Telus menulis berpaksi kesedaran!

Saya gemar membaca puisi-puisi Sdr Ida Munira. Jarang sekali saya meladeni cerpen-cerpen penyair muda ini. Membaca cerpen 'Puisi Adinda Hati, Hilang Yang Ingin Jumpa dan Warkah Cinta Untuk Ibu' telah menemukan saya semangat kepenyairannya yang tidak pernah padam. Pasti terselit puisi-puisi indah dalam cerpen dan puisi-puisi tersebut bukan sebuah tampalan dan tempelan. Tetapi mengandung makna yang amat dalam untuk merungkai kisah sebuah cerita yang punyai pertalian dan rantaian peristiwa bersadur indah bahasa sebuah puisi. Begitu perbezaan seorang penyair apabila menulis sebuah cerpen berbanding seorang penulis yang menulis dalam ruang lingkup genre cerpen sahaja. Sungguh! Lenggok tari tulisan jelas tidak dapat menyembunyikan dirinya sebagai seorang penyair. Itulah kekuatan dan kelebihan beliau, punyai jiwa kepenyairan dan kepengarangan. Terlalu! Cerpen-cerpen yang sungguh unik itu menyedarkan saya betapa sastera adalah seni yang terlalu indah.

Karya-karya Sdr NimoizTY pula seperti 'Nur Pengabdian, Mencapai Sebuah Resolusi dan Merungkai Egoisme' adalah karya-karya yang memaparkan pergolakan jiwa. Ini identiti dan kekuatan yang dimilikinya sehingga apabila melihat tajuk-tajuk cerpen tersebut sudah jelas dapat mentafsir dan merungkai makna yang ingin disampaikan. Saya tidak akan menggunakan istilah barangkali untuk mentafsir bicara penanya, kerana apabila membaca karya-karya Sdr Nimoiz semacam begitu saya mengenalinya; seorang yang dipenuhi rasa pengabdian pada Tuhan, kaya dengan semangat mencari sesuatu yang jarang sekali manusia memburu dan memikirkannya. Demikian apabila membaca karya-karya seorang penulis secara tidak langsung kita mengenal dirinya, prinsip dan perjuangan yang dimilikinya. Penyair muda ini juga seorang yang berpotensi tinggi menggarap rasa hati dan lapis sedar bukan melalui puisi sahaja bahkan berjaya menghantarnya melalui bakat kepengarangan dalam cerpen.

Hanya ini ulasan saya sebagai seorang pembaca, peminat sastera dan pengembara pena yang mahu mencari realiti objektif bersama rasa sedar yang bersalut demi menghalusi catatan pengembaraan kehidupan sebatang pena yang kadangkala tiada pembelaan.

No comments: