Pages

Saturday, October 22, 2005

PENULIS ADALAH PENDAKWAH

HAMKA adalah akronim daripada Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amirullah, seorang tokoh penulis, sasterawan, ulama dan pendakwah Islam yang progresif, menjadi sanjungan masyarakat Nusantara. Tidak asing menyebut nama ini kerana beliau dikenali lewat karya-karya berunsur dakwah dan kaya dengan falsafah keagamaan juga kasih sayang. TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK, DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH, MERANTAU KE DELI dan antologi cerpen DI DALAM LEMBAH adalah himpunan karya-karya yang banyak menerapkan nilai-nilai keagamaan. Justeru sasterawan ini banyak berjasa kepada masyarakat dunia kerana segenap kehidupannya dibaluti dengan rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap dakwah melalui pena.

Tokoh penulis ini tidak sekadar bijak mencerna idea dan pandangan di tubir pena bahkan seorang yang bijak berpidato hal-hal agama dan politik Minangkabau. Tuntas bakat itu diperkemas dengan jitu lalu terhasil majalah pertamanya KHATIBUL UMMAH pada tahun 1925. Sejujur saya menyorot kembali kegemilangan HAMKA ini bertujuan menerapkan setitis rasa sedar dan ingat kembali kepada sejarah kegemilangan tokoh-tokoh penulis Islam. Menulis adalah satu jihad begitu harus kita fahami andai rasa tanggungjawab itu saban hari mengasak jiwa dan sensitiviti sebagai umat Islam sentiasa segar dalam roh mukmin. Andai tiada yang telus meluah pandangan, tiada yang sudi memindahkan ilmu dalam dada di atas kertas, bagaiman nikmat Islam itu telah kita kecapi pada hari ini.

Saya merungkai perkara ini dalam persepsi sebagai seorang mahasiswa al-Azhar. Kita adalah jambatannya yang menjadi penghubung antara dua bahasa., Bahasa Ibunda (Bahasa Melayu) dan Bahasa Syurga (Bahasa Arab). Bukankah kita bertanggungjawab memindahkan ilmu-ilmu di dalam kitab turas ke dalam penulisan kreatif? Dalam penulisan kreatif itu ada ilmu bantunya. Lantaran ilmu bantu itu wajar dicedok melalui pembacaan dan pemahaman daripada kitab-kitab yang terkandung di dalamnya hal-hal dan perbincangan agama. Di situlah kelebihan yang akan kita perolehi. Menjadi seorang penulis yang tidak hanya kaya seni bahasa semata bahkan menjadi tokoh agama yang bijak menyalur ilmu melalui pena. Mengapa harus dipersia bakat dan ilmu yang ada. Mana mahu ditumpahkan ilmu dalam dada jika tidak di atas kertas. Menjadi seorang yang bijak berbicara hasilnya akan tampak agung andai disusuli bicara sufi sebatang pena. Begitu sewajarnya jalan yang kita lalui ini harus dipenuhi rasa sedar dan insaf terhadap penindasan yang berlaku pada agama, bangsa dan negara Islam dekad ini. Di sinilah peranan merancakkan aksi di atas pentas pena wajar di ambil perhatian. Peri penting mengenal makna penulis sebagai pendakwah itu sudah terpupuk dalam jiwa bermula saat dan detik ini.

Saya tinggalkan rasa tanggungjawab dari lantunan jemari pengembara pena untuk entri kali ini semoga menjadi kenangan dan perhatian generasi hari ini dan mendatang: Rentak kalam menari gundah, perit mengungkap sebaris kalimah, biar resah menyemai dakwah, tulus pena tidakkan berubah, mendapat nusrah dan hikmah daripada Allah. Terus berjuang hingga titisan darah yang terakhir!

No comments: