Pages

Friday, July 15, 2005

SASTERA, JIWA MANUSIA

Hari ini saya menemukan semangat dan kesungguhan anak-anak Negeri Sembilan yang cuba mengakrabi dunia penulisan. Tiga hari bersama mereka dalam pelbagai agenda, banyak yang telah saya temui dalam diri mereka. Saya kagum dengan semangat dan kesungguhan mereka menghadiri program yang dianjurkan oleh Akademi Karyawan Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan(AKRAB). Petang ini, kami berdiskusi dan sama-sama mengupas permasalahan yang ada dalam diri penulis-penulis baru. Ramai yang berbakat dalam dunia penulisan, namun tidak ramai yang konsisten. Ramai yang kecewa kerana karya-karya mereka sering dibakul sampahkan. Itu bukan halangan utama, semangat dan usaha akan membuahkan hasil diluar jangkaan. Mereka bertanya: apakah kepentingan karya kreatif berbanding karya non-kreatif? Ramai yang tidak menyedari, kesedaran memupuk rasa simpati dan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara lahir saat anda menikmati karya kreatif. Di situ lahirnya rasa amanah lantaran keistimewaan karya kreatif itu ada sastera di dalamnya. Sastera itu menghalusi peribadi dan jiwa. Sastera juga membina jiwa manusia bermasyarakat. Tuntas sastera ada seni yang unik kerana jiwa manusia adalah sastera. Lantaran itu, perhatikan jiwa-jiwa insan yang gersang sastera, mereka sukar menghalusi peribadi, sukar menebak duka dan luka kehidupan masyarakat sekeliling dan mereka hanya tahu menabur bicara tanpa ilham pena tumpah di atas kertas. Kata-kata ini menjurus kepada musuh-musuh Islam, kontang sastera jiwa buat rasa kejam bersalut. Lantaran itu hilang tasamuh, lalu benarlah firman Allah: "Tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga (umat-umat Islam) mengikuti agama mereka."
Usah disangkal firman Allah, usah dinafi kekuasaan-Nya kerana kekuasaan al-Khalik haram digugat, wajib diimani. Amanah yang melingkari ini tidak akan terhenti andai rasa sedar sentiasa bersalut dalam sanubari. Kepada anda yang mempunyai kesedaran, lunasi tanggungjawab ini. Gemilangkan dunia pena agar ilmu yang ada dibukukan buat panduan generasi akan datang.

Tuesday, July 12, 2005

MENCARI LOCUS STANDI

Sebetulnya saya sekarang berada di kota Kaherah. Baru usai melunasi amanah dalam slot pembentangan kertas kerja "Pengenalan Ringkas Struktur Penulisan Cerpen". Mohon maaf kepada pengunjung-pengunjung blog saya. Setiap hari anda semua menatap entri yang sama. Dalam ripuh melunasi amanah, saya sempat mengkhatami novel Nisah Hj Haron(kak Nisah) yang berjudul "Mencari Locus Standi". Kekuatan bahasa yang ada pada kak Nisah membuatkan struktur penulisan ayat berjalan lancar. Tiada rasa jemu membaca jalan cerita novel tersebut. Membaca novel tersebut seolah-olah saya sedang menyelami sikap dan jati diri yang ada pada diri beliau. Syabas kepada kak Nisah. saya sentiasa merindui karya-karya beliau. Sungguh! Kak Nisah tidak menyembunyikan diri beliau sebagai seorang peguam dalam novel tersebut. Ada sesuatu yang harus saya pelajari. Juga telah membantu pengkajian saya terhadap adat pepatih. Saya akan meneruskan pengkajian saya sehingga cita-cita untuk menggarap unsur-unsur naratif dalam karya kreatif tercapai. Kita bertemu lagi dalam entri saya yang akan datang. Selamat membaca.

Friday, July 08, 2005

ALKISAH SATU HARI

Satu hari di akhirat, ibarat seribu tahun di dunia. Satu hari di dunia sentiasa mengharap siang dan malam yang panjang. Satu hari di akhirat sentiasa menunggu ketibaan esok. Satu hari di dunia, menghitung wang dan harta. Satu hari di akhirat sentiasa menghitung masa. Satu hari di dunia, mengejar pangkat dan nama. Satu hari di akhirat tidak menghiraukan orang lain. Satu hari di dunia tamak harta. Satu hari di akhirat tamak amalan. Satu hari di dunia...peduli apa aku...kumpul harta banyak-banyak. Satu hari di akhirat...peduli apa aku...aku mahukan amalan aku...aku nak himpun amalan aku agar mizan kejahatan menjadi ringan. Satu hari di dunia, umur kita berbeza...ada muda, remaja dan tua. Satu hari di akhirat dan selamanya... kita kekal muda sebaya. Satu hari di dunia tidak kenal Tuhan. Satu hari di akhirat...oh! Engkaulah Tuhanku.

Alkisah satu hari. Bermacam ragam...bermacam perbandingan. Satu hari itu, di mana kita. Satu hari itu, apa yang kita lakukan. Satu hari itu matahari terbit disebelah barat. Hari itu, hari Jumaat. Itulah hari kiamat. Satu hari ini sudah banyak alamat dan petanda. Jika tidak percaya lihatlah satu hari ini, apa yang akan terjadi. Banyak perkara akan terjadi satu hari ini. Projek pembangunan berjalan lancar dan pesat. Mahu buat bangunan pencakar langit. Buang bayi...lagi banyak macam zaman jahiliyah. Berzina lagi tak terkira...dosa pahala sama sahaja tiada beza. Satu hari, ibu- bapa tunduk pada kemahuan anak. Mereka takut pada zuriat sendiri. Sungguh! Anak-anak derhaka lagi. Kalau tak percaya, tengoklah...pasti ada yang lawan cakap ibu-bapa. Lihat sahaja satu hari ini, manusia banyak yang terleka. Alkisah satu hari...malaikat maut merenung 70 kali renungan yang tajam. Tiap-tiap hari begitu. Alkisah satu hari pasti akan ada yang mati. Mana tahu, mungkin hari ini kita mati.

Alkisah satu hari, akan tinggal kenangan...akan tinggal sejarah...akan tinggal lagenda.

Tuesday, July 05, 2005

RAGAM SANA SINI

+ Semalam adik Umar (Pengarah Akademi Karyawan BAKANS=AKRAB) menghubungi saya. Dia minta saya membentangkan kertas kerja Teknik Penulisan Cerpen pada 12/7/2005 ini, bertempat di dewan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, rumah Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan. Saya dimaklumkan program tersebut akan berlangsung tiga hari berturut-turut, berupa semi-Seminar Penulisan. Juga akan ada slot Teknik Penulisan Puisi: penyampai oleh Norsuriana, salah seorang ahli E-sastera.com yang aktif berpuisi. Selain anak-anak Negeri Sembilan, penyertaan hanya dibuka kepada anak-anak Negeri Melaka, Kuala Lumpur dan Perlis sahaja. Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa begitu. Saya tidak dapat memberi jawapan meskipun saya tahu jawapannya. Jika mahu tahu lebih lanjut bolehlah bertanya kepada adik Umar.

+ Ada beberapa orang rakan di Mesir bertanya: Salha, kenapa forn blog awak macam dakwat tumpah. Lebih elok jika tidak diboldkan... Oh ya kah? Kemudian saya bertanya kepada sebahagian rakan-rakan di sini dan di Malaysia. Kata mereka forn blog saya ok. Tidak pula kelihatan macam dakwat tumpah. Ada yang memberi pandangan agar saya membuat catatan: paparan terbaik adalah 1024 x 768. Saya menggunakan paparan 800 x 600. Jelas dan semuanya ok. Ada yang sudah mencuba paparan 1024 x 768. Tetapi hasilnya mereka masih menikmati forn yang seumpama dakwat tumpah. Justeru saya faham, masalah yang berlaku ini bukan berpunca daripada blog saya. Tetapi barangkali berpunca daripada pc yang mereka gunakan. Kebanyakan pc yang terdapat di Cyber Cafe, Mesir adalah musta'mal (yang terpakai). Justeru, banyaklah perkakas-perkakas di dalamnya juga kurang berkualiti. Salah satu daripadanya, mungkin menggunakan VGA yang lama. Itu tafsiran pertama saya. Banyak lagi tafsiran yang bermain di minda saya kerana saya bukan seorang pakar komputer. Walau apapun pengalaman telah banyak mematangkan dan banyak memberi ilmu baru kepada saya. Saya dan komputer peribadi ibarat sepasang kekasih yang terlalu intim. Lalu jika komputer buat ragam, saya sudah menjangka apa yang dimahukannya. Kadang-kadang komputer macam manusia juga. Ada kala sakit perut, adakala sakit kepala.

+ Malam semalam Norviyah telefon saya. Komputer rakan serumahnya buat ragam. Lalu dia bertanya apa yang harus dilakukan. Saya kesani apa yang membuatkan komputer tersebut buat ragam. Lalu saya ajari perka-perkara yang sewajarnya dia lakukan. Harus diingat, komputer adalah barang yang terlalu sensitif dan mudah rosak terutamanya di sini. Selain itu peti sejuk juga begitu. Hal ini kerana bekalan elektrik di Mesir tidak stabil dan kurang mencukupi. Akibatnya banyaklah barang-barang elektronik di sini mudah rosak. Oleh itu, gunalah stabilizer untuk komputer anda insya-Allah akan selamat daripada sebarang bahaya.

+ Kem Latihan Penulis (KELAP) akan mengadakan bengkel penulisan kreatif dan non- kreatif pada 23/7/2005 dan 24/7/2005 ini bertempat di rumah Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan. Program tersebut akan bermula jam 7.00 pagi. Justeru, penyertaan di buka kepada semua warga kampus anak-anak Malaysia di Mesir. Karya asli hendaklah diserahkan kepada alamat e-mel berikut:
syarifahsalha@yahoo.com (untuk puisi dan cerpen) dan ayohwer_179@yahoo.com
(untuk non-kreatif, esei). Karya hendaklah di hantar menggunakan Attachment ke alamat e-mel tersebut sebelum 16/7/2005 ini. Yuran penyertaan sebanyak LE 10.75 termasuk salinan fotostat karya dan makan tengah hari.

Sunday, July 03, 2005

PENGALAMAN YANG MEMATANGKAN

Semalam sebelum pulang ke kota kecil Mansurah hati rasa berdebar-debar. Semacam emosi dan deras darah berkocak. Saya nyatakan perasaan tidak tenteram itu kepada rakan-rakan serumah. Kata mereka: banyakkan beristighfar mungkin ada sesuatu bakal terjadi. Sekitar jam 8.00 pagi saya dan lima rakan melangkah keluar dari imarah (bangunan) Negeri Sembilan. Dua rakan saya, Aishah dan Nurul Huda berjalan di bahagian hadapan. Saya dan kak Mazlina berada pada bahagian tengah dan Mariam serta Norviyah berada di belakang saya. Hampir tiga langkah sebelum sampai ke jalan besar, tiba-tiba ada sebuah kereta meluncur di sisi kak Mazlina lalu cuba meragut beg yang tersandang di bahu kanannya. Serta merta rakan saya Norviyah menjerit dan saya dengan pantas menoleh. Alhamdulillah, mungkin kerana jeritan itu buat si peragut tergegau lalu mematikan niat untuk mencuri dan terus memecut kereta. Sepanjang perjalanan dari Hayyu Sabi' ke Ramsis kami lebih berhati-hati. Sesampai di Ramsis kami berpisah dengan Aishah dan Nurul Huda kerana mereka menuju ke destinasi kota tinggalan Iskandar Zurkarnain, Iskandariah (Alexandaria). Kami berempat pula mengambil kenderaan menuju ke Mansurah menaiki van. Tepat jam 11.00 pagi kami tiba di kota kecil Mansurah dan pulang ke rumah masing-masing. Sesampai di rumah sewa, saya berehat seketika melepaskan lelah dan penat. Namun hati saya masih berdebar-debar dan fikiran semakin runsing. Saya tekan butang komputer dan buka e-mel. Ternyata ada seseorang telah mengirim e-mel kepada saya. Namun, berita yang disampaikan buat saya tidak keruan. Saya tidak tahu mengapa jiwa saya harus keruan kala membaca e-mel tersebut. Saya tahu bukan sekali saya menerima e-mel sebegitu. Hati saya menjadi sedih dan terus menelefon emak di kampung. Saya ceritakan apa yang telah terjadi. Emak berpesan, banyakkan bersabar mungkin itu dugaan daripada Allah S.W.T. Saya lega namun kali ini saya tidak menangis seperti selalu. Tetapi rasa lesu mula menjelira di urat dan saraf. Saya benar-benar keletihan dengan situasi begitu. Usai solat Zuhur, saya bungkam di atas katil hingga menjelang waktu solat asar. Hari ini, keletihan dan keresahan jiwa semakin pulih. Ada rafik yang sudi memberi nasihat dan pandangan. Saya redha dengan ketentuan ini. Ada insan yang lebih menghargai dan sanggup berkorban demi melihat kebahagiaan dan keceriaan hidup saya. Mereka itu insan-insan yang pernah melalui situasi yang serupa dan sama namun agak berbeza cara dan pengalaman. Setiap ujian Allah ada hikmahnya. Hari ini saya rasa gembira. Saya akan meneruskan aktiviti penulisan saya dengan bersemangat insya-Allah. Kata seorang rafik, tersenyumlah meskipun dalam jiwa diranduk duka dan bimbang. Zahirkan senyuman meskipun dalam jiwa menangis. Begitu lebih kurang kata-katanya telah saya petik dan telah saya tafsir lalu mengolahnya dengan waras akal lalu saya anyam dengan keindahan bahasa dan sastera. Kami berbincang, "Flower Dreams" apa maknanya. Katanya, dia tidak begitu mahir tentang grammer. Saya juga bukan golongan cerdik pandai mentafsir istilah-istilah Inggeris. Namun saya lebih suka mentafsir istilah itu dalam sastera Melayu. Bunga-bunga mimpi katanya lalu saya tafsir, bunga-bunga mimpi yang indah namun hanya sementara kala realiti datang mengulit segala keindahan itu bertaburan dan pecah bak kaca terhempas ke lantai. Begitulah keindahan mimpi namun kita harus berpijak pada realiti hidup yang sebenar. Pengalaman telah banyak mematangkan manusia untuk meniti jambatan usia di masa akan datang. Hanya meyakini, hidup tidak selalunya indah dan pengalaman itu harus dikongsi bersama buat panduan hidup semua manusia. Lalu, mengapa harus dipersia bakat dan kebolehan yang ada kerana di sana kita bermula, merasa, jatuh dan bangun.
****************************
Hidup tidak selalunya indah,
Langit tak selalu cerah,
Suram malam tak berbintang...
Itulah lukisan alam.
****************************
Jadilah rumput nan lemah lembut,
Tak luruh dipukul ribut,
Bagai karang di dasar lautan,
Tak terusik dilanda badai.
**************************
Dalam sukar hitunglah kesyukuranmu,
Dalam senang awasi kealpaanmu,
Setitis derita melanda,
Segunung kurniaan-Nya.
****************************
Dalam diam taburkanlah baktimu,
Dalam tenang buangkanlah amarahmu,
Suburkanlah sifat sabar,
Di dalam jiwamu itu...
****************************
Usah mengharapkan kesenangan,
Dalam perjuangan perlu pengorbanan,
Usah dendam berpanjangan...
Maafkan kesalahan insan,
Begitu ajaran Tuhan...
****************************

Monday, June 27, 2005

CATATAN

Selesai sudah Kolokium AKAR yang pertama untuk musim Saifi ini. Majlis berjalan lancar dan tenang. Namun saya agak keletihan dan tidak bersemangat seperti selalu kerana waktu tidur tidak mencukupi. Alhamdulillah pembentangan kertas kerja 'Karikatur Suatu Presentasi Ringkas' oleh Sdr A.Ubaidillah Alias amat memuaskan. Di sana telah menemukan saya bakat-bakat terpendam dalam bidang ini. Cuma ada sesuatu yang melucukan dikalangan peserta, melukis gambar pengarah AKAR... Sdr pengarah disindir dan diperli sekaligus. Sdr pengarah hanya tersenyum... Slot 'Apresiasi Karyawan' juga menarik. Sekitar jam 3.00ptg baru saya berpeluang pulang ke penginapan.

Hari ini saya menerima buah tangan daripada seseorang. Dia adalah seorang adik yang saya kenal sebagai seorang yang pemalu dan merendah diri. Saya rasa terharu atas pemberiannya. Melihat wajahnya buat saya teringat pada angah (adik lelaki saya). Sudah lama saya tidak berbual dengan angah melalui corong telefon. Setiap kali saya menghubungi keluarga angah pasti sudah tidur kerana penat bekerja di siang hari. Namun saya rasa gembira kerana angah sekarang semakin matang dan bertanggungjawab kepada keluarga.

Esok dua jam selepas subuh saya akan bertolak ke Kaherah. Insya-Allah, semoga selamat sampai ke destinasi. Jam sepuluh pagi akan menghadiri mesyuarat KELAP di rumah Negeri Sembilan. Sudah lama tidak pulang ke rumah negeri. Sesekali pulang boleh bertukar suasana sambil-sambil berwisata mencari idea baru. Lusa pula ramai rakan-rakan senegeri akan pulang bercuti ke tanahair. Hari yang berikutnya saya ada agenda yang perlu dilunasi. Saya masih belum dapat menyempurnakan artikel untuk SKEMA kerana komputer buat ragam. Sekejap ok sekejap tidak. Seingat saya sehingga kini sudah lebih sepuluh kali saya setup windows dan sudah empat kali tukar mainbord baru. Sekarang ini floppy disk pula buat hal. Emm...ini semua nak menghabiskan duit sayalah ni.
Petang ini saya menerima cenderahati kenang-kenangan daripada seorang rafik. Terima kasih, kerana rafik yang baik adalah cermin untuk diri kita dan rafik juga adalah pemandu menuju impian dan cita-cita.

Friday, June 24, 2005

DIARI

18/6/2005: imtihan syafawi berakhir. Dalam gigil dipeluk demam panas terketar-ketar menjawab soalan. Alhamdulillah.

24/6/2005: lepas asar ada mesyuarat AKAR (Akademi Karyawan Mansurah).

25/6/2006: Deadline untuk hantar artikel ke SKEMA (Suara Kampus Edisi Mansurah). Sekarang dalam proses masih belum siap sepenuhnya.

26/6/2006: Kolokium AKAR, Majlis Apresiasi Karyawan. Tetamu jemputan Sdr A.Ubaidillah. Ada pembentangan kertas kerja dan juga forum. Ahli panel terdiri daripada Sdr A.Ubaidillah Alias, Sy.Salha Sy.Ahmad (eh sayalah), Sdr Wan Mohd Hasri Wan Hassan (Ketua UPP DPMM). Kepada warga KELAP anda semua dijemput hadir untuk program tersebut. Silalah turun ke furu' Mansurah jika ada masa senggang.

28/6/2005: Mesyuarat KELAP (Kem Latihan Penulis).

3/7/2005: deadline hantar artikel untuk SKENS (Suara Kampus Edisi N.9).

:: cerpen untuk antologi masih belum siap.
:: janji nak lukis potret housemate, Err...! Masih tak berkesempatan. Nanti ya kak Na...
:: Cikgu saya minta tolong lukiskan sebuah lukisan latar alam...? Ha, yang ini dah siap lepas subuh tadi ralit melukis sampai lupa makan dan minum. Sekarang dah petang masih belum sarapan pagi dan belum makan tengah hari…aduh! Macam puasa pulak.
:: pagi tadi terima sms daripada Anizah: kenapa lama ayong menyepi? Alahai adik, ayong demamlah.
::
kepada pengunjung-pengunjung blog saya, mohon maaf kerana saya buat anda jemu menatap blog yang sudah sekian lama tidak di update. Pemilik blog ini sudah hampir dua minggu diserang demam. Tapi hari ini sudah semakin sihat. Nantikan entri-entri yang seterusnya...Jumpa lagi!!!